Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiada kelulusan permohonan pajakan melombong baharu di Tasik Chini - MB


Tarikh kemaskini: 04/11/2019





PEKAN, 4 Nov -- Tiada kelulusan permohonan pajakan melombong baharu akan diberikan di sekitar Tasik Chini di sini, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Beliau berkata ketetapan itu dibuat berdasarkan keputusan Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Mac lepas, yang bersetuju mewujudkan dasar khas bagi perlombongan untuk kawasan sekitar tasik kedua terbesar negara itu. 

Keputusan itu juga, bagi memastikan ekosistem Tasik Chini tidak terjejas dengan aktiviti perlombongan atau penerokaan tanah demi kelangsungan hutan untuk generasi masa hadapan. 

"Kerajaan negeri juga bersetuju mewartakan kawasan seluas 4,497.25 hektar kawasan di Tasik Chini sebagai Hutan Simpan Kekal sebagai komitmen kerajaan negeri memastikan sumber hutan yang tidak ternilai harganya berkekalan. 

Selain itu, kita juga telah meluluskan pelaksanaan Projek Penghutanan Semula Kawasan Terosot yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 50,000 hektar di Rompin, Temerloh dan Kuantan," katanya. 

Wan Rosdy berkata demikian semasa berucap merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Hutan Antarabangsa Peringkat Pahang 2019 di Kampung Air Leleh, Kuala Pahang di sini, hari ini. 

Beliau juga memaklumkan kerajaan negeri juga pada 8 Mei lepas, bersetuju untuk mewartakan kawasan hutan seluas 132,212.58 hektar di Pahang sebagai Hutan Tadahan Air di bawah fungsi pengelasan Hutan Perlindungan. 

"Kepentingan sumber hutan Pahang seperti sumber air mentah bukan untuk keperluan negeri ini semata-mata, tetapi juga mustahak untuk negeri yang bersempadan seperti Terengganu, Kelantan, Perak, Johor dan Negeri Sembilan. 

"Sehubungan itu, usaha menangani pencerobohan dan pembalakan haram adalah tanggungjawab bersama. Rakyat perlu bersikap proaktif dengan menjadi mata dan telinga pihak berkuasa, walaupun ada agensi yang diamanahkan dengan tugasan ini," katanya. 

Pada perkembangan lain, Wan Rosdy berkata pembinaan lapangan terbang di Pulau Tioman, Rompin dekat sini akan bermula dalam masa terdekat oleh sektor swasta dengan kerjasama kerajaan negeri. 

Katanya, projek itu sudah mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan dan tapak sesuai sudah dikenal pasti dengan jaminan pelaksanaannya tidak akan menjejaskan alam sekitar serta mematuhi Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA). 

"Lapangan terbang baru ini diharapkan dapat meningkatkan kedatangan pelancong ke pulau tersebut sekali gus membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

K'jaan Selangor sedang proses kelulusan tapak tanah Highland Towers untuk dibangunkan semula

 
     

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel