Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiga anak istimewa terima kunjungan Sultan Kelantan


Tarikh kemaskini: 05/11/2019





TUMPAT, 4 Nov  -- Bapa kepada tiga beradik penghidap “cerebral palsy” Mohd Zain Abdullah, 56, menyifatkan kunjungan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke kediamannya di Kampung Kok Keli di sini, petang ini sesuatu yang amat istimewa.

Mohd Zain berkata beliau tidak pernah menjangkakan ujian yang dialaminya, turut menjadi perhatian pihak Istana Kelantan.

"Saya amat terkejut apabila semalam dihubungi pihak Istana bahawa Tuanku ingin berkunjung ke rumah bagi menziarahi ketiga-tiga anak istimewa saya. Namun pada masa yang sama rasa amat teruja bila dapat bertemu mata sendiri dengan Tuanku yang melayan kami dengan amat mesra," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Baginda tiba di kediaman Mohd Zain pada jam 5.20 petang dan meluangkan masa kira-kira setengah jam bertanya khabar keluarga terbabit.

Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan peribadinya kepada keluarga tersebut selain sumbangan wang tunai daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Turut berangkat Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz bersama isteri, Puan Sri Tengku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Kisah tiga anaknya iaitu Khairul Nisaa, 25, Muhammad Amir, 18, dan Ain Husna, 17, mula mendapat perhatian sejak kematian isterinya Nooraini Ismail dua tahun lepas dan tersebar luas selepas ditularkan sejak beberapa bulan lalu.

Sejak kematian isteri, Mohd Zain yang bekerja sebagai tukang rumah memikul tugas menguruskan tiga anak istimewanya, termasuk memandikan dan memberi makan kepada mereka.

Dalam pada itu Mohd  Zain berkata beliau amat berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasibnya dan semua yang menghulurkan sumbangan.

"Saya tidak pasti siapa yang mula-mula viralkan kisah kehidupan kami sekeluarga. Apapun saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada beliau, kerana sejak diviralkan ramai yang tampil membantu sekali gus meringankan beban kami sekeluarga," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Ops Catut PSP: KPDNHEP Sabah hantar notis pengesahan kepada 15 kilang

 
     

Dua buah PPS dibuka di Kuching setakat 8.00 malam

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel