Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KXP: Kedah tak lantik orang tengah nilai tanah - Mukhriz


Tarikh kemaskini: 05/11/2019





JITRA, 4 Nov  -- Kerajaan negeri Kedah tidak pernah melantik mana-mana pihak sebagai 'orang tengah', untuk berunding dengan pemilik mengenai nilai tanah yang terlibat dengan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, kewujudan 'orang tengah' atau penilai swasta ini amat dikesalkan, kerana tujuan mereka hanyalah untuk mengaut 'untung atas angin' dan mengambil kesempatan terhadap pemilik yang kurang faham mengenai isu pengambilan tanah, untuk kepentingan umum.

"Sudah ada pihak yang jadi penilai swasta yang sebenarnya tidak ditauliahkan oleh pemaju atau syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC), yang dimaksudkan di sini ialah pihak kerajaan negeri.

"Mereka keluarkan notis dan jemput pemilik tanah terlibat untuk hadir ke sesi taklimat mengenai pengambilan tanah oleh kerajaan (untuk bina KXP), tapi sebenarnya dia tak terlibat, saja nak jadi orang tengah," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Sijil Hak Milik dan Lesen Pendudukan Sementara di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga tidak berpuas hati kerana pihak tidak bertanggungjawab itu turut mempunyai maklumat lengkap mengenai cadangan persempadanan untuk pembangunan KXP, sedangkan perkara itu masih dalam peringkat 'pemikiran' kerajaan negeri dan masih belum diumumkan.

"Saya tak puas hati kerana sempadan sedang difikirkan kerajaan, tapi pihak swasta dah dapat maklumat dan ini tak semestinya berlaku... (mesti) berlaku ketirisan di mana-mana, tapi setahu kami tak ramai tahu tentang ini," katanya.

Mukhriz turut menasihatkan orang awam yang terlibat dengan proses pengambilan tanah untuk sebarang projek pembangunan di negeri ini, supaya berurusan terus dengan pihak kerajaan negeri bagi mengelakkan mereka daripada dipergunakan.

Dalam pada itu katanya nilai atau kadar harga tanah yang ditetapkan mestilah berpandukan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) yang munasabah.

"Apabila ia (pengambilan tanah) bertujuan untuk kepentingan awam, kita tidak mahulah kos melambung terlampau tinggi kerana ia akhirnya akan menggagalkan hasrat kerajaan, untuk bangunkan sesuatu projek demi kepentingan rakyat, jadi kita semua akan rugi," katanya.

Sehubungan itu katanya, pemilik tanah dinasihatkan agar tidak membuat tuntutan luar daripada penilaian, yang akhirnya akan mengagalkan projek berkenaan.

Beliau juga menegaskan bahawa hasrat kerajaan negeri untuk membangunkan KXP adalah demi memajukan Kedah dan seluruh wilayah utara.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel