Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Projek PSR: Kerajaan negeri akan guna ruang sedia ada untuk penuhi syarat pelaksanaan


Tarikh kemaskini: 05/11/2019





GEORGE TOWN, 5 Nov  -- Kerajaan Pulau Pinang akan memastikan segala syarat yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta nasihat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) dalam kelulusan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) dipatuhi.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pematuhan 72 syarat bagi projek PSR itu penting untuk dipatuhi bagi menjayakan hasrat kerajaan negeri ini  melaksanakan projek tersebut.

"Sekarang pun sebahagian besar kelulusan telah diperoleh,  ruang sedia ada. Sekarang adalah masa  untuk kita memenuhi syarat-syarat. Selagi kita tidak memenuhi syarat-syarat tersebut, kita tidak boleh memulakan kerja (projek PSR).

"Saya percaya pihak terlibat antaranya NGO (Badan Bukan Kerajaan) dan JAS akan memantau setakat mana kita memenuhi syarat -syarat. Jadi kita akan menggunakan ruang sedia ada untuk bekerja dengan keras memenuhi dan mematuhi syarat-syarat yang diberi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ketua Pembangkang Datuk Muhammad Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri  di sini hari ini.

Selain itu Chow turut meminta agar pelaksanaan projek ini dipandang dari sudut positif dan impaknya terhadap negeri dalam tempoh 50 tahun akan datang kepada penjanaan ekonomi di Pulau Pinang.

"Setiap projek akan mempunyai kesan positif dan negatif, sama seperti PSR. Antara kebaikannya adalah bakal menjana pembangunan ekonomi 50 tahun akan datang dan sebagai kesinambungan pembangunan industri.

“Bagaimanapun, dalam syarat yang diberikan, kerajaan negeri perlu melaksanakan langkah mitigasi bagi menangani kesan ke atas komuniti nelayan dengan mewujudkan pasukan petugas nelayan dan menyediakan 'exit plan' serta Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan yang dilaksanakan sejak 2016 lagi," katanya.

Pada 16 Julai lepas,  kerajaan negeri mendedahkan 72 syarat yang ditetapkan oleh JAS dalam kelulusan laporan EIA bagi projek PSR itu, antaranya mewajibkan kerajaan negeri melaksanakan langkah mitigasi mengikut nasihat teknikal daripada jabatan berkaitan terutamanya Jabatan Perikanan Malaysia bagi menangani impak projek ini ke atas perikanan dan komuniti nelayan.

Projek PSR bertujuan mewujudkan bank tanah untuk membiayai projek Pelan Pengangkutan Pulau Pinang. Difahamkan jangka masa projek tebus guna adalah selama 15 tahun dan keseluruhan projek dijangka siap antara 30 dan 50 tahun.

Kerajaan Pulau Pinang menerima kelulusan laporan EIA bagi projek PSR daripada JAS pada 4 Julai lepas.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     

Sultan Selangor berkenan hadir ke Jamuan Teh Diraja

 
     

LTTE: Permohonan ikat jamin dua ADUN, ketua pegawai perbadanan didengar Isnin

 
     

Dewan Negara: LPT2 catat 246 kes kemalangan maut dari Januari 2016-Oktober 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel