Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penduduk di kawasan rendah dinasihat segera berpindah jika hujan berterusan


Tarikh kemaskini: 05/11/2019





KOTA BHARU, 5 Nov -- Polis Kelantan menasihatkan penduduk yang berada di kawasan rendah supaya berjaga-jaga dan sentiasa mengikut arahan berpindah sekiranya dikeluarkan pihak berkuasa apabila berlaku hujan lebat berterusan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), sekiranya berlaku hujan lebat dalam tempoh enam jam tanpa henti pada 23 hingga 26 Nov ini, kemungkinan akan berlaku banjir kerana pada masa yang sama akan berlaku air pasang besar.

Beliau berkata sebagaimana yang berlaku banjir kilat di Gua Musang dua hari lalu walaupun hujan hanya dua jam namun kawasan rendah mudah dinaiki air sehingga menenggelamkan beberapa rumah penduduk.

"Disebabkan demikian, kita mengarahkan penduduk supaya bersiap sedia dan mengikut arahan berpindah, sekiranya dikeluarkan.

"Ketika banjir biasanya paras air naik secara mendadak dan operasi menyelamat sudah pasti sukar dilakukan. Penduduk di kawasan rendah dinasihatkan supaya lebih peka dengan keadaan semasa ketika musim banjir," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Jelasnya, bagi ibu-ibu yang mengandung, pihak keluarga perlu bersiap sedia termasuk menumpangkan mereka ke rumah saudara.

Katanya dianggarkan terdapat seramai kira-kira 300 ibu mengandung yang sedang menunggu kelahiran bayi dalam tempoh November hingga Disember ini.

Hasanuddin berkata demikian mengulas mengenai Mesyuarat Penyelarasan Banjir yang dipengerusikannya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, semalam.

Jelasnya, mengenai persiapan banjir, kesemua agensi yang terlibat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah bersiap siaga dengan keanggotaan serta logistik yang ada.

"Dalam perkembangan lain, polis Kelantan akan meminta bantuan daripada pihak Bukit Aman sekiranya diperlukan nanti.

“Dari segi jalan perhubungan, sekiranya terputus kita akan menggunakan helikopter sama ada daripada ATM, JBPM ataupun akan disewa sekiranya diperlukan. Untuk talian telefon sekiranya sukar kita akan menggunakan alat perhubungan yang menggunakan satelit dalam operasi pada musim banjir," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel