Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan akan tumpu pada pembesaran LTAPP


Tarikh kemaskini: 05/11/2019





GEORGE TOWN, 5 Nov  -- Kerajaan Persekutuan akan terus komited memfokuskan  projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ??????bagi menampung peningkatan kapasiti  penumpang yang semakin ketara di lapangan terbang tersebut.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pembesaran lapangan terbang harus menjadi fokus utama terlebih dahulu pada ketika ini biarpun terdapat beberapa cadangan daripada pihak swasta  untuk lapangan terbang baharu dibina.

Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih turut memohon agar  cadangan pembinaan lapangan terbang baharu yang dibuat syarikat swasta melalui kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) itu tidak menjadi penghalang kepada usaha kerajaan dalam memperbesarkan LTAPP yang kini mencecah kapasiti maksima.

"Melalui PFI ini, memang siapa sahaja boleh buat cadangan namun dari segi teknikal dan kewangan, ia perlu munasabah. Dari segi kewajaran dan kebolehlaksanaan, juga perlu dinilai dengan teliti.

"Penelitian perlu dibuat, jangan hanya lihat pada keuntungan sahaja. Kita perlu pastikan infrastruktur asas dapat disediakan dan ini terpulang kepada kebijaksanaan kerajaan. Bagaimanapun, janganlah kerana faktor-faktor lain termasuk PFI, usaha kerajaan untuk membesarkan LTAPP terjejas," katanya.

Lim berkata demikian dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2020 di Dewan Undangan Negeri yang berlangsung di Dewan Sri Pinang di sini.

Dalam pada itu berhubung soalan ADUN  Machang Bubok, Lee Khai Loon mengenai implikasi pembinaan Lapangan Terbang Kulim (KXP)  akan memberi impak persaingan kepada LTAPP dan negeri berdekatan, Lim berkata persaingan itu harus dipandang positif.

"Mengapa kita takut untuk berdaya saing, kita mesti yakin bahawa lapangan terbang masing-masing mampu untuk berdaya saing. Mengapa Pulau Pinang hendak  takut dengan persaingan baharu sekiranya kita ada platform kita sendiri? Persaingan ini dilihat sesuatu yang baik," katanya.

Projek KXP bernilai kira-kira RM1.6 bilion merupakan antara tujuh projek dan program berimpak tinggi diluluskan Kerajaan Pusat di Kedah dan dijangka menjadi pelengkap kepada kemudahan sedia ada di negeri berkenaan, sekali gus meningkatkan pembangunan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     

FAMA sumbang RM49,084 kepada keluarga lapan wira negara terkorban semasa Op Daulat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel