MAQIS gagalkan cubaan bawa masuk daun sirih
Tarikh kemaskini: 05/11/2019

GEORGE TOWN, 5 Nov -- Cubaan seorang lelaki warga Indonesia membawa masuk 10 kilogram (kg) daun sirih ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) gagal apabila dikesan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang, semalam.
Pengarah MAQIS Pulau Pinang Zarina Ramli berkata lelaki berusia 40-an itu yang baru tiba dengan penerbangan dari Medan pukul 12 tengah hari ditahan selepas pemeriksaan menemui beberapa ikat daun sirih yang disimpan dalam begnya.
"Daun sirih itu dibawa masuk ke negara ini untuk dijual dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan warga asing yang bekerja di negeri ini, dia juga dikesan membawa masuk 6.42 kg tembakau " katanya di sini hari ini.
Beliau berkata tindakan membawa masuk daun sirih ke negara ini memerlukan permit import yang dikeluarkan oleh Maqis dan sijil fitosanitasi daripada jabatan pertanian negara pengimport.
Menurutnya kes itu disiasat menurut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
-- BERNAMA
|