Jf_gs5RPxdk Pengoperasian semula terminal feri 'hidupkan semula' Pekan Kukup
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pengoperasian semula terminal feri 'hidupkan semula' Pekan Kukup


Tarikh kemaskini: 05/11/2019





PONTIAN, 5 Nov -- Pengoperasian semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup, di sini, esok, dilihat akan 'menghidupkan' semula suasana Pekan Kukup, yang terkesan sejak penutupan sementara terminal itu mulai 1 Sept lepas.

Bagi para peniaga dan pemandu teksi di jeti berkenaan, pengoperasian semula terminal itu akan mengembalikan semula punca pendapatan mereka yang hilang sejak dua bulan lepas.

Setiausaha Koperasi Pemandu dan Tuan Punya Kereta Sewa Kukup Pontian Bhd, Abdul Razak Abdul Rahman pula berkata pihaknya menyambut baik pengoperasian semula itu memandangkan 70 pemandu teksi di sekitar Kukup kini kehilangan punca pendapatan sejak operasi terminal itu dihentikan.

"Ketika ini ada dalam kalangan pemandu teksi yang mencari pendapatan alternatif dengan berkebun. Yang mana ada kebun, kerja kebun, tetapi yang tiada kebun, simpan kereta sahaja lah.

Jadi, dengan pengoperasian semula ini, kita berasa amat lega. Bukan sahaja mengembalikan pendapatan masing-masing tetapi dapat mengeratkan semula hubungan sesama pemandu," katanya ketika ditemui di pekan itu dekat sini hari ini.

Operasi terminal feri itu dihentikan sementara mulai 1 Sept lepas dan operasinya dialih ke Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, di Iskandar Puteri. Penutupan sementara itu berikutan langkah kerajaan negeri menamatkan konsesi syarikat yang mengendalikan terminal berkenaan atas sebab-sebab tertentu.

Terminal Feri Antarabangsa Kukup menyediakan perjalanan feri ke Tanjung Balai di Pulau Karimun, Indonesia. Terminal itu yang sepatutnya dibuka semula 1 Nov lepas terpaksa ditunda kepada esok, berikutan beberapa isu teknikal yang dihadapi pengusaha feri.

Jumaat lepas, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dilaporkan berkata terminal itu akan kembali beroperasi sepenuhnya esok.

Seorang peniaga roti canai, Sukadi Ahmad, 55, berkata perniagaannya terjejas sehingga 50 peratus sejak dua bulan ini akibat kekurangan pelanggan.

"Biasanya pendapatan harian mampu mencecah RM300, namun, sejak dua bulan ini hanya RM150 sahaja memandangkan pelanggan saya hanya dalam kalangan orang tempatan sahaja," katanya yang berniaga di pekan itu sejak 18 tahun lepas.

Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Karmaine Sardini berkata pembukaan semula terminal itu memberikan nafas lega kepada para peniaga sekitar dan para pemandu teksi terhadap sumber ekonomi mereka.

"Pembukaan semula terminal ini akan memberi impak khususnya peniaga kedai makan, pengusaha tempat letak kenderaan dan para pemandu teksi," katanya ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan mesra bertemu pengundi di Pekan Kukup.

-- BERNAMA  

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel