Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sekolah menengah pilihan terakhir sebagai pusat pemindahan banjir


Tarikh kemaskini: 05/11/2019





ALOR SETAR, 5 Nov -- Sekolah menengah di negeri ini adalah pilihan terakhir untuk dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir dengan keutamaan adalah dewan orang ramai, surau dan sekolah rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad berkata ia bagi mengelakkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang sedang berlangsung ketika ini terganggu.

“Malam esok kita akan adakan mesyuarat bersama pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pejabat daerah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membincangkan persediaan kita menghadapi gelombang kedua banjir.

“Kita akan utamakan dewan orang ramai terlebih dahulu contohnya seperti di kawasan saya sebelum ini sepatutnya PPS adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun, tetapi disebabkan sesi persekolahan kita buat keputusan pindah ke dewan orang ramai di Kampung Tradisi Lembah Keriang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Halimaton yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, berkata dari segi persediaan di PPS, JKM sentiasa memastikan bekalan makanan dan kemudahan mencukupi bagi memberi keselesaan kepada penduduk yang dipindahkan.

“Kita juga dah bersiap siaga di PPS dan jika perlu dibuka, kita akan buka dan tiada masalah kerana semua agensi akan bekerjasama bagi memastikan kerja-kerja memindahkan mangsa dan segala keperluan mangsa mencukupi,” katanya.

Dalam kejadian banjir yang berlaku bulan lepas, beberapa PPS merangkumi surau, dewan orang ramai dan dewan serbaguna dibuka di beberapa daerah terjejas antaranya Baling, Kubang Pasu dan Pendang bagi menempatkan sejumlah mangsa banjir.

Terdahulu, Halimaton Shaadiah yang mewakili Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir merasmikan Program Kebajikan Kemakmuran Bersama Peringkat Negeri Kedah 2019 anjuran JKM.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel