Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pengesahan JAKOA boleh diguna untuk permohonan MSPO


Tarikh kemaskini: 05/11/2019





KUANTAN, 5 Nov  -- Masyarakat Orang Asli yang mengusahakan kebun kelapa sawit hanya perlu mengemukakan dokumen pengesahan pemilikan tanah bagi memohon pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang diwajibkan mulai tahun depan. 

Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim berkata dokumen pengesahan itu dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), permohonan tersebut boleh dilakukan di pejabat JAKOA di seluruh negara. 

"Jika JAKOA dapat mengesahkan mereka memiliki tanah yang diusahakan dengan kelapa sawit, maka mereka boleh mendapatkan MSPO, ia bertujuan meningkatkan imej kelapa sawit Malaysia di peringkat antarabangsa. 

"Pensijilan ini penting supaya kita (Malaysia) dapat bersuara lebih lantang dalam menangani persepsi negatif tentang kelapa sawit Malaysia yang dilontarkan oleh beberapa negara, ia juga menjadikan kelapa sawit kekal berdaya saing dalam pasaran dunia," katanya. 

Kok berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Taklimat MSPO dan Sesi Dialog Bersama Penanam Kelapa Sawit Pahang di Kompleks Dagangan Mahkota di sini hari ini yang disertai kira-kira 600 pekebun dari sekitar daerah ini. 

Beliau ditanya mengenai kesukaran pekebun kecil kelapa sawit daripada masyarakat Orang Asli untuk mendapatkan pensijilan MSPO kerana syarat wajib permohonan ialah berkaitan pemilikan tanah. 

Kok juga memberi jaminan bahawa pekebun kecil kelapa sawit iaitu di bawah 40.47 hektar (100 ekar) tidak akan dikenakan tindakan penggantungan lesen sebaik sahaja syarat memiliki MSPO berkuatkuasa pada 1 Januari tahun depan. 

"Tindakan ini adalah kepada mereka yang mengusahakan kelapa sawit melebihi 100 ekar seperti estet dan perkara ini sebenarnya telah dimaklumkan sejak bulan lepas bagi memberikan masa kepada mereka yang masih belum membuat permohonan untuk berbuat demikian," katanya. 

Kok juga memaklumkan setakat 30 September lalu, seluas 3.19 juta hektar atau 55 peratus daripada 5.85 juta hektar tanah yang diusahakan dengan komoditi itu dan 313 kilang atau 70 peratus daripada jumlah kilang kelapa sawit di seluruh negara telah memperoleh MSPO. 

Bagaimanapun di Pahang, Kok menyifatkan pensijilan MSPO masih rendah iaitu hanya 3.7 peratus daripada keseluruhan 53,000 hektar tanah kelapa sawit dan berharap kerajaan negeri Pahang dapat membantu meningkatkan kesedaran kepentingan memiliki sijil tersebut. 

"Kementerian juga berharap lebih ramai pengusaha dan pekebun kelapa sawit di seluruh negara dapat memohon pensijilan MSPO dalam tempoh yang masih berbaki dua bulan ini supaya dapat mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus bagi memiliki sijil tersebut, jika tidak sepenuhnya," katanya. 

Mengulas mengenai cadangan untuk menetapkan harga lantai yang dibangkitkan di Dewan Rakyat semalam, Kok berkata perkara itu masih dalam peringkat kajian kerana perlu dilihat dengan kemampuan kewangan kerajaan untuk berbuat demikian. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel