Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pembukaan Terminal Feri Antarabangsa Kukup terpaksa ditunda lagi


Tarikh kemaskini: 05/11/2019





PONTIAN, 5 Nov (Bernama) -- Terminal Feri Antarabangsa Kukup dekat sini yang sepatutnya beroperasi semula sepenuhnya esok, terpaksa ditunda sekali lagi berikutan masalah teknikal di Indonesia.

Semasa menjelaskan perkara berkenaan, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata negara itu masih belum membenarkan feri dari Malaysia berlabuh di Tanjung Balai, Pulau Karimun, Indonesia. 

"Saya ingin memohon maaf, kerana terdapat beberapa masalah teknikal di pihak Indonesia, yang mana kapal (feri) dari Malaysia masih belum dibenarkan berlabuh.

Esok wakil kerajaan Johor akan ke Indonesia, untuk melihat perkara ini dan menghantar beberapa dokumen yang diperlukan untuk feri kita berlabuh di situ.

Dua tiga hari ini kita akan ke sana, lihat dulu hasil perbincangan dengan mereka, kita akan pastikan (operasi feri) dipercepatkan," katanya kepada pemberita, di pusat daerah mengundi Peradin, Tanjung Kerang, dekat sini malam ini.

Terminal itu sepatutnya dibuka pada 1 Nov lepas, namun ditunda pada 6 Nov bagi proses pemindahan feri dari Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, di Iskandar Puteri dan urusan insurans.

Operasi terminal feri itu dihentikan sementara mulai 1 Sept lepas berikutan langkah kerajaan negeri menamatkan konsesi syarikat yang mengendalikan terminal tersebut atas sebab-sebab tertentu dan operasinya dialih ke Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, Iskandar Puteri.

Sahruddin berkata masalah hutang antara operator feri yang terdahulu dengan pihak Indonesia antara punca operasi feri ke negara itu belum dibenarkan.

"Syarikat operator feri yang lepas amat bermasalah dengan Indonesia dan kerajaan negeri, oleh itu Indonesia mahu memastikan syarikat sedia ada tidak ada kena mengena dengan syarikat lama," katanya.

Ditanya mengenai aspek keselamatan di terminal terbabit, Dr Sahruddin berkata ia akan diperketatkan supaya tiada lagi isu penggunaan pasport palsu di pintu masuk negara itu.

Katanya, selepas pembukaan terminal tersebut Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) akan mengambil alih operasi terminal itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

K'jaan Selangor sedang proses kelulusan tapak tanah Highland Towers untuk dibangunkan semula

 
     

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel