Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sultan Kelantan cemar duli ziarah pesakit tumor


Tarikh kemaskini: 05/11/2019




KOTA BHARU, 5 Nov  -- Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mencemar duli apabila menziarahi seorang pesakit tumor, Kamareeah Arwae, 36, yang koma sejak setahun lalu di rumahnya di Kampung Badang dekat PCB di sini, hari ini.

Baginda yang memandu sendiri ke rumah berkenaan tiba kira-kira pukul 3.40 petang sebelum menyampaikan sumbangan peribadi serta daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Hadir sama menziarahi pesakit berkenaan adalah Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang, Dr Izani Husin.

Difahamkan, baginda sempat meluangkan masa selama setengah jam di rumah berkenaan, dan turut mendoakan agar kesihatan Kamareeah kembali pulih.

Sementara itu, suami kepada Kamareeah, Fairol Haziri Rahim, 44, berkata dia tidak menyangka penderitaan yang dialami isterinya itu mendapatkan perhatian daripada Sultan Muhammad V.

Katanya sebelum ini ada pihak MAIK yang datang memberikan sumbangan wang tunai kepada isterinya untuk perbelanjaan termasuk membeli susu dan lampin pakai buang.

"Saya amat berbangga dengan kesudian Tuanku menziarahi keluarga saya dan menyampaikan sumbangan peribadi.

"Sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat membantu meringankan beban kami sekeluarga. Paling saya teruja adalah apabila baginda sendiri mendoakan agar isteri saya kembali sihat," katanya yang mempunyai dua orang anak, Farah Hanis, berusia lima bulan dan Farras Hazim, 2.

Faizal berkata isterinya sebelum ini dikesan menghidap tumor selepas mengalami sawan ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel