CXAILJ8XG_c Tapak Ramsar di Tanjung Piai tarikan pencinta alam serata dunia
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tapak Ramsar di Tanjung Piai tarikan pencinta alam serata dunia


Tarikh kemaskini: 06/11/2019





Laporan eksklusif oleh Nur Fadhliana Shaari

PONTIAN, 6 Nov -- Taman Negara Johor Tanjung Piai dan Pulau Kukup, kedua-duanya dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai, bukanlah nama asing dalam sektor ekopelancongan di negara ini, malah dengan statusnya sebagai tapak Ramsar, menjadikannya pilihan pencinta alam semula jadi dari dalam dan luar negara.

Kedua-dua Taman Negara Johor itu merupakan antara tujuh tapak Ramsar di Malaysia dan antara tiga di Johor, dengan Tanjung Piai merupakan kawasan hutan bakau berkeluasan 526 hektar yang menjadi ‘kediaman’ 20 spesies tumbuhan bakau asli dan sembilan spesies bakau berkaitan, selain tarikan sebagai Tanah Paling Selatan Benua Asia atau Penghujung Selatan Tanah Besar Benua Asia.

Pulau Kukup pula dengan keluasan pulau 647 hektar dan dikelilingi 800 hektar tanah paya merupakan pulau hutan bakau kedua terbesar di dunia, dengan 47 spesies bakau telah direkodkan,

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Liow Cai Tung berkata beberapa usaha telah dan sedang dilakukan kerajaan negeri untuk ‘memasarkan’ Johor termasuk kedua-dua Taman Negara Johor itu kepada pelancong sama ada dalam atau dalam negara.

“Pada tahun 2003, Taman Negara Johor Tanjung Piai diiktiraf oleh Konvensyen Ramsar sebagai Tapak Ramsar, atau tanah lembap berkepentingan antarabangsa sekali gus menjadikannya produk jualan yang unik bagi kerajaan negeri memasarkannya kepada para pelancong terutamanya mereka yang minat ekopelancongan atau pencinta alam,” kata beliau dalam satu temu ramah bersama Bernama, baru-baru ini.

Menurutnya, selain Tanjung Piai, Pulau Kukup yang terletak berhampiran juga merupakan antara destinasi Taman Negara Johor yang sentiasa dipromosikan oleh kerajaan negeri sebagai destinasi ekopelancongan.

Bersesuaian dengan Tahun Melawat Johor 2020, Liow berkata Tourism Johor memperkenalkan 20 acara dan 20 destinasi yang akan dipromosikan.

“Menariknya, untuk daerah Pontian, Tanjung Piai dan Pulau Kukup dipilih untuk Festival Hujung Benua,” katanya, sambil menambah tentang kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk merakamkan video di tempat-tempat menarik termasuk di Tanjung Piai.

Tambahnya, pelbagai  program program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dijalankan oleh pihak kerajaan, swasta dan NGO seperti gotong-royong, menanam pokok, mengutip sampah dan sebagainya bagi memupuk semangat cintai alam sekitar.

“Kami juga turut bekerjasama dengan Singapura menerusi program Passport 2 Nature, di mana Taman Negara Pulau Kukup bekerjasama dengan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan kerajaan negeri juga dalam usaha menaik taraf kemudahan taman negara bagi mengindahkan lagi imej tempat tarikan pelancongan tersebut.

“Saya harap dengan pelbagai usaha yang dilakukan pihak kerajaan negeri, pihak swasta, NGO dan masyarakat setempat serta aktiviti promosi yang dijalankan ini, orang ramai boleh lebih mengetahui tentang Tanjung Piai dan lebih ramai akan datang ke sini,” katanya lagi.

Tapak Ramsar adalah kawasan berkepentingan bagi konservasi burung air dan tanah lembap. 

Kelebihan tanah bakau yang lembap berperanan untuk melindungi spesies hutan bakau seperti Mangrove Pitta, Mangrove Blue Flycatcher dan Mangrove Whistler, yang terancam secara global, menjadi  tarikan destinasi pelancongan sekali gus membantu mendatangkan pendapatan kepada kerajaan negeri serta masyarakat di daerah Pontian khususnya penduduk di kawasan Parlimen Tanjung Piai.

Sementara itu, Liow turut mengingatkan pemain industri pelancongan dan pengusaha produk untuk bekerjasama menggerakkan dan mempromosikan industri ini dengan mewujudkan pakej-pakej menarik bagi memudahkan pelancong menikmati pelbagai jenis produk pelancongan dan tidak tertumpu pada satu produk atau tarikan sahaja.

“Kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan pengusaha produk untuk menghasilkan video yang menarik, menceritakan latar belakang atau sejarah kerana pelancong sukakan storyline yang menarik tentang sesuatu tempat atau produk. 

“Seperti makanan yang merupakan satu komponen yang penting dalam industri pelancongan apatah lagi makanan tradisional dan mempunyai keunikan di tempat tersebut seperti ‘burasak’ yang memang terkenal dan mesti dirasai semua, jika pengunjung datang ke Pontian,” katanya lagi.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel