Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jentera Srikandi beri penerangan tentang usaha kerajaan - Rina


Tarikh kemaskini: 06/11/2019





PONTIAN, 6 Nov -- Jentera Srikandi Bersatu sedang giat memberikan pelbagai penerangan berhubung usaha-usaha kerajaan untuk membantu rakyat terutama kaum wanita.menerusi kempen yang dijalankan bagi membantu calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Ketuanya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata jentera Srikandi Bersatu telah menggiatkan gerak kerja bertemu pengundi dalam memastikan kemenangan calon PH, dan ia sudah diatur lebih sebulan lepas di semua 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Kita mahu dapatkan sebanyak mungkin undi daripada masyarakat di Tanjung Piai dan kita mahu tarik keyakinan rakyat untuk terus memberikan sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan.

“Kerajaan Malaysia sudah Pakatan Harapan, kerajaan negeri pun Pakatan Harapan, jadi, kita harap Tanjung Piai juga turut sama menyokong calon Pakatan Harapan,” katanya yang ditemui selepas menghadiri ceramah kelompok di Parit Basilam, Pekan Nanas, di sini hari ini, yang turut disertai Ketua Srikandi Bersatu Johor Norliza Ngadiran.

Rina yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata pihaknya turut memanfaatkan pengalaman ibu kepada Allahyarham Datuk Md Farid Md Rafik, Norma Mohamed, dalam mengatur strategi jentera di kawasan terbabit.

Berpengalaman selama 30 tahun dalam politik, Norma yang merupakan Ketua Srikandi Bersatu Tanjung Piai turut merupakan Pengerusi Program Culaan dan Gerak Mesra Srikandi, bagi menghadapi pilihan raya itu, kata beliau.

Terdahulu, pada ceramah berkenaan, Rina yakin para pengundi di kawasan Tanjung Piai membuat penilaian bijak dengan terus memberikan sokongan kepada kerajaan.

“Saya menteri menjaga MARA (Majlis Amanah Rakyat), jaga kampung dan luar bandar, kita (kerajaan) mahu bina banyak lagi MRSM (Maktab Rendah Sains MARA).

“Kita tidak mahu lagi luar bandar dikaitkan dengan kemiskinan. Pelbagai program sudah dilakukan yang bukan sahaja memberikan barangan seperti blender dan oven (kepada wanita) tetapi sekarang ini kita mahu pantau hasilnya, bagi meningkatkan pendapatan mereka (wanita),” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 Nov ini, susulan kematian Md Farid, 42, dari PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

PH yang mempertaruhkan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini berdepan dengan pertandingan enam penjuru menentang Barisan Nasional (BN), Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua calon bebas.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel