Terengganu 'Turtles' buat persiapan awal hadapi saingan divisyen satu tahun depan
Tarikh kemaskini: 06/11/2019

KUALA TERENGGANU, 6 Nov -- Pasukan sepak takraw, Terengganu Turtles akan membuat persiapan awal, bagi menghadapi saingan Divisyen Satu Liga Sepak Takraw (STL) tahun hadapan.
Jurulatih Mohd Futra Abdul Ghani berkata walaupun Terengganu Turtles masih dihantui kekecewaan kerana 'turun pangkat' ke Divisyen Satu selepas menamatkan STL pada kedudukan kesembilan tahun ini, beliau tekad membuat persiapan rapi bagi memastikan pasukannya kembali beraksi di saingan Liga Premier pada 2021.
"Untuk musim hadapan, saya tidak menolak untuk mempertaruhkan pemain muda seperti mana peluang yang diberikan kepada Amar Roslan, 17, dan Afif Jazimin Zainal Abidin, 16, pada tahun ini.
"Bagaimanapun hanya pemain muda yang benar-benar layak sahaja akan dipilih untuk beraksi, selain gabungan tonggak senior dan import jika mendapat kebenaran Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM)," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Mengulas lanjut Mohd Futra yang merupakan bekas perejam emas negara berkata, ketiadaan tonggak utama disebabkan penarikan diri apit kanan, Fazli Roslan dan Safaruddin Abu Bakar pada minggu kedua STL adalah punca utama Terengganu Turtles jatuh ke Divisyen Satu musim depan.
Justeru, bagi mengisi kekosongan tersebut, beliau terpaksa menurunkan pemain muda yang sebahagian besarnya adalah atlet skuad Sukan Malaysia (SUKMA), yang nyata masih kurang berpengalaman.
Selain itu beliau berkata percaturan menurunkan pemain import, Phutawan Sopa dan Narongsak Jittisak juga nampaknya tidak membuahkan hasil seperti diharapkan Terengganu Turtles.
"Sudah tentu kami mahu kekal dalam saingan Liga Premier dengan menurunkan pasukan terkuat, tetapi PSM tidak membenarkan penggantian pemain kecuali atas faktor sakit atau cedera teruk.
"Oleh itu kami terpaksa mengharungi STL dengan bakat muda dan menahan cemuhan serta kecaman daripada peminat negeri yang tidak faham tentang peraturan PSM," katanya.
-- BERNAMA
|