Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pengundi Tanjung Piai tidak sepatutnya terpengaruh dengan berita palsu


Tarikh kemaskini: 07/11/2019





PONTIAN, 6 Nov  -- Pengundi Tanjung Piai tidak seharusnya terpengaruh dengan berita palsu tetapi sebaliknya memberikan sepenuh keyakinan kepada calon Pakatan Harapan Karmaine Sardini dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 Nov.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, dengan menjadi lebih celik media, pengundi tidak akan dengan mudah terpengaruh dengan berita palsu, terutamanya ketika kempen pilihan raya kecil.

“Ia bergantung sama ada penduduk Tanjung Piai boleh menjadi lebih celik media dan tidak membenarkan berita palsu mempengaruhi keputusan (pilihan raya kecil),” katanya kepada pemberita selepas ‘sesi kopitiam’ di Kampung Penerok, di sini malam ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan sama ada penyebaran berita palsu akan menjejaskan peluang untuk Pakatan Harapan memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mengakui beliau dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah menjadi mangsa berita palsu.

“Kita kini berada dalam masa di mana terdapatnya banyak berita palsu. (Sebagai contoh) Di kawasan Melayu (ada orang) mengatakan Dr Mahathir adalah boneka DAP dan di kawasan Cina, mereka katakan Lim Kit Siang adalah boneka Dr Mahathir. Kami berdua bukan boneka.

“Tetapi sebenarnya ialah kami berdua sedang memainkan peranan masing-masing demi negara ini,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 Nov ini, susulan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang mewakili PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Karmaine berdepan pertandingan enam penjuru menentang BN, Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua calon bebas.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel