Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kaedah fertigasi bantu usahawan tani pada musim tengkujuh


Tarikh kemaskini: 07/11/2019





MARANG, 7 Nov  -- Kecanggihan teknologi dalam bidang pertanian menjadikan usahawan tani di Terengganu tidak lagi gentar untuk meneruskan projek tanaman mereka meskipun musim tengkujuh semakin hampir.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi mendapati banyak projek tanaman yang masih diusahakan seperti cili, terung dan timun menggunakan kaedah fertigasi yang lebih moden dan selamat daripada ancaman kemusnahan.

Bagi Mohd Shafie Sulong, 48, beliau tidak begitu risau dengan kehadiran musim tengkujuh kerana telah mempraktikkan kaedah tanaman fertigasi untuk 1,400 pokok cili Sekata 461 yang mula ditanam pada 1 Sept lepas.

"Malah, saya turut menutup setiap polibeg cili ini dengan bekas polisterin untuk mengelakkan pembaziran baja sekiranya berlaku hujan lebat dalam tempoh yang lama.

"Melalui kaedah ini, baja akan tetap kekal di dalam polibeg dan cili tidak akan ditenggelami air sekiranya hujan lebat kerana diletakkan di atas tempat yang tinggi dari aras tanah," katanya ketika ditemui Bernama di kebunnya seluas 0.5 hektar dekat Kampung Mak Kemas di sini hari ini.

Fertigasi berasal daripada dua perkataan Inggeris, 'fertilization' (pembajaan) dan 'irrigation' (pengairan) yang mana ia mampu mengeluarkan hasil berkali ganda berbanding kaedah konvensional, penggunaan baja dan racun organik yang efisien, serta tidak memerlukan kawasan yang luas.

Mohd Shafie berkata usahawan perlu menimba ilmu sebanyak mungkin sebelum memulakan projek tanaman bagi mengelak risiko kerugian seperti jangkaan tempoh tuaian serta ramalan cuaca sepanjang projek berjalan.

"Apabila kita mempunyai persediaan rapi, insya-Allah tengkujuh bukanlah penghalang untuk usahawan tani," katanya yang menjangka harga cili akan melonjak kepada RM15 sekilogram untuk harga pemborong pada musim banjir nanti berbanding hanya RM8 hingga RM10 sahaja ketika ini.

Beliau yang mengeluarkan modal sebanyak RM30,000 juga bersyukur kerana sering mendapat bimbingan nasihat daripada Jabatan Pertanian Negeri Terengganu untuk memaksimumkan pengeluaran hasil tanaman cilinya itu.

Jabatan Meteorologi meramalkan Terengganu akan menerima taburan hujan yang lebat antara empat hingga enam episod berserta dengan angin kencang bermula akhir Oktober hingga Mac 2020 yang akan menyebabkan impak banjir sama seperti tahun 2016 dan 2017.

Bagi seorang lagi usahawan tani, Mohd Faizal Zakaria, 35, beliau sangat gembira apabila berjaya mengutip hasil tuaian yang pertama semalam apabila 600 pokok cili Sekata 461 yang ditanam dua bulan lalu sudah matang.

"Saya memang membuat perancangan rapi bilakah masa sesuai untuk memulakan tanaman ini agar dapat menuainya sebelum musim tengkujuh...dengan tunjuk ajar ramai rakan usahawan tani lain, saya dapat mengaplikasikan ilmu mereka di kebun saya dan setakat ini, tanaman memang tidak terjejas lagi.

"Melalui teknik fertigasi, usahawan masih boleh meneruskan tanaman cuma yang penting ialah penjagaan lebih rapi perlu dilakukan bagi memastikan putik buah tidak mudah luruh dan elak menyemai benih baharu ketika musim tengkujuh," katanya.

Selain kaedah menutup polibeg dengan polisterin, usahawan tani juga memasang struktur pelindung hujan (SPH) berjaring untuk menghalang kemasukan air hujan dan serangan serangga perosak tanaman.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel