Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Banyak aspek perlu diperbaiki KUFC - Zahasmi Ismail


Tarikh kemaskini: 07/11/2019





KOTA BHARU, 7 Nov  -- Ketua jurulatih Kelantan United (KUFC) Zahasmi Ismail mengakui banyak aspek perlu diperbaiki oleh pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Premier musim depan.

Zahasmi berkata ini kerana beraksi di Liga Premier akan memberikan suasana berbeza kepada pasukan itu berbanding beraksi di Liga M3 musim ini.

"Banyak lagi perkara yang perlu difikirkan kerana Liga Premier sudah tentu lebih mencabar yang memerlukan kami harus bekerja keras dan melakukan banyak analisis.

"Begitu juga dengan pemain import perlu ditambah berikutan sekarang ini pasukan hanya mempunyai dua pemain import berbanding beraksi di Liga Premier pasukan memerlukan empat pemain import," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pada perlawanan terakhir Liga M3 Selasa lepas, KUFC mengesahkan kejuaraan liga itu apabila terikat 2-2 dengan Armed Forces FC di Stadium KLFA, Cheras.

Keputusan itu menyaksikan Kelantan United FC mengumpul 66 mata selepas 26 perlawanan, tidak mampu dicabar oleh Kuching FA yang berada di kedudukan kedua biar pun berbaki dua perlawanan. 

Zahasmi berkata bagi membentuk pasukan khususnya pemain, ia turut bergantung kepada kemampuan pengurusan pasukan.

"Kami lihat dahulu, jika perlu menambah pemain kami tambah dan bergantung kepada keperluan pasukan menghadapi saingan Liga Premier musim depan.

"Saya yakin dengan pemain yang ada bersama pasukan ketika ini untuk memberikan saingan kepada pasukan lain kerana musim ini rata-rata pemain pernah bermain untuk saingan Liga Super dan Liga Premier sebelum ini seperti Mohd Badri Radzi, Mohd Shahrizan Ismail, Daudsu Jamaluddin dan berberapa pemain lain," katanya.

Katanya kehadiran pasukan KUFC memberikan suasana baharu kepada sukan bola sepak Kelantan.

"Saya fikir dua pasukan KUFC dan The Red Warriors (TRW) mampu menjadi pasukan terbaik pada saingan Liga Premier," katanya.

TRW dan KUFC mewakili Kelantan pada saingan Liga Premier musim depan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel