Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Langkah pencegahan kurangkan risiko banjir di Melaka - Adly


Tarikh kemaskini: 07/11/2019





MELAKA, 7 Nov -- Langkah pencegahan banjir, terutama penyelenggaraan sistem saliran yang dilaksanakan kerajaan negeri Melaka dan agensi kerajaan lain telah berjaya mengurangkan risiko banjir di negeri ini, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Memberi contoh, beliau berkata kawasan Kampung Kilang Berapi di Merlimau, Jasin dekat sini yang menjadi kawasan banjir setiap kali musim tengkujuh, sudah tidak mengalami banjir besar bermula tahun lepas apabila hujan lebat turun kerana sistem saliran berfungsi dengan baik.

Katanya selain itu, rumah pam di Melaka Baru di sini, yang berfungsi menyalurkan lebihan air di kawasan itu ke Sungai Melaka bagi mengelak banjir, sudah berfungsi namun ujian lanjut sedang dijalankan bagi memastikan sistem itu berfungsi sempurna untuk menyelesaikan masalah banjir di kawasan itu.

"Tidak secara keseluruhan kita kata sistem kita telah berfungsi dengan baik dan banjir sudah tiada, tetapi persediaan itu telah kita buat dan kita pun telah ambil banyak inisiatif. Banyak lagi inisiatif yang kita kena buat (seperti) rumah pam baharu, sistem pengairan baharu dan pintu air baharu.

"Jadi saya rasa kalau kita teruskan kaedah ini saya yakin kita mungkin tidak dapat selesaikan masalah banjir secara menyeluruh, tetapi saya yakin kita boleh mengurangkan kawasan berisiko banjir besar dan banjir kilat," katanya pada sidang media Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka di sini hari ini.

Sementara itu, Adly berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) secara dasarnya telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan untuk membangunkan pusat pemprosesan bahan buangan daripada sisa makanan di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau berkata Unit Kerajaan Tempatan, Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah akan mengenal pasti tapak yang bersesuaian dalam tempoh sebulan ini untuk dikemukakan kepada KPKT untuk tindakan yang selanjutnya.

"Kita akan lihat saiz (tapak pusat), seluruh (jumlah) peruntukan itu akan bergantung kepada saiz yang kita jangka. Kita kenal pasti dulu lokasi dan saiz sisa makanan yang akan kita hasilkan kemudian baru kita akan perkemas peruntukan keseluruhan," katanya.

Beliau berkata antara cadangan tapak untuk pembangunan pusat itu ialah kawasan tanah terbiar Indah Water Konsortium.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel