Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PRK Tanjung Piai: Gerakan umum manifesto


Tarikh kemaskini: 07/11/2019





PONTIAN, 7 Nov -- Gerakan hari ini mengumumkan manifestonya sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang menggariskan tiga perkara utama bagi memastikan kesejahteraan penduduk kawasan Parlimen tersebut.

Tiga perkara itu adalah meningkatkan ekonomi dan industri masyarakat Tanjung Piai yang melibatkan usaha meningkatkan peluang pekerjaan, industri kelapa sawit, pertanian, perikanan dan akuakultur serta pelancongan; menjaga kebajikan dan keselamatan sosial; serta menangani kenaikan kos sara hidup seluruh masyarakat di Tanjung Piai.

Manifesto itu diumumkan oleh Presidennya Datuk Dominic Lau bersama calon Gerakan, Wendy Subramaniam di bilik operasi utama Gerakan bagi PRK itu hari ini.

Lau berkata antara isu yang akan diketengahkan sekiranya Wendy diberi mandat sebagai wakil rakyat Parlimen itu kelak adalah untuk memperjuangkan kepentingan industri harga kelapa sawit kerana ia merupakan satu daripada penjana ekonomi penting bagi sebahagian penduduk di kawasan Tanjung Piai.

"Oleh itu, ia harus dijadikan sebagai keutamaan bagi Ahli Parlimen Tanjung Piai dalam mempertahankan industri tersebut...jadi kita akan memperjuangkan harga minyak kelapa sawit yang menguntungkan dan agar dijadikan sebagai satu sumber minyak yang relevan di dunia," katanya.

Wendy pula berkata beliau akan memperkenalkan dan mengetengahkan lebih banyak kawasan yang berpotensi dijadikan destinasi pelancongan supaya dapat menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara ke kawasan Parlimen itu, sekali gus dapat meningkatkan pendapatan masyarakat di Tanjung Piai.

"Menambah baik dan meningkatkan sektor pelancongan adalah perkara pertama yang akan saya bentangkan di Parlimen sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat Tanjung Piai," katanya.

Antara perkara-perkara lain yang digariskan di bawah manifesto Gerakan adalah memastikan hak warga emas terbela seperti menyediakan program dan infrastruktur yang mencukupi kepada golongan itu dan isu perumahan mampu milik di kawasan Parlimen Tanjung Piai.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari pengundian PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 Nov, manakala undi awal pada 12 Nov ini.

PRK itu menyaksikan pertandingan enam penjuru melibatkan Wendy dengan calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) serta dua calon bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Allahyarham Dr Md Farid yang mewakili PH menang dengan majoriti 524 undi menewaskan Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

K'jaan Selangor sedang proses kelulusan tapak tanah Highland Towers untuk dibangunkan semula

 
     

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel