Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perkeso Terengganu lancar inovasi baharu, lebih 3,000 kontraktor terima manfaat


Tarikh kemaskini: 07/11/2019





KUALA TERENGGANU, 7 Nov -- Lebih 3,000 kontraktor di Kuala Terengganu bakal menerima impak positif hasil inovasi baharu yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu.

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata inovasi tersebut merupakan pengeluaran surat projek kepada kontraktor pada hari yang sama permohonan diterima kerana sebelum ini, Perkeso Terengganu mengambil masa antara satu hingga tiga minggu untuk mengeluarkan surat tersebut.

Beliau berkata pihaknya mengambil masa yang agak lama sebelum ini disebabkan kebanyakan kontraktor tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan Perkeso.

"Antaranya ialah kegagalan kontraktor untuk mendaftar pekerja mereka, membuat caruman dan menjelaskan caruman pekerja sebelum 15 haribulan pada bulan berikutnya.

"Jadi melalui inovasi baharu ini, kami boleh mengeluarkan surat itu serta merta dengan syarat kontraktor turut memenuhi semua piawaian yang telah ditetapkan Perkeso," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran inovasi pengeluaran surat projek kepada kontraktor yang disempurnakan oleh Ahli Lembaga Perkeso, Datuk Ahmad Nadzarudin Abdul Razak di sini hari ini.

Lebih 100 kontraktor hadir ke majlis taklimat inovasi baharu itu dan diberi penerangan kaedah pelaksanaannya yang dapat membantu tuntutan pembayaran berjalan lancar.

Setakat ini, Perkeso Terengganu muncul sebagai negeri pertama yang melaksanakan inovasi itu, malah Farihah mengakui pengeluaran surat kelulusan pengesahan bayaran tender Perkeso secara serta merta itu sangat dinanti-nantikan oleh  golongan kontraktor selama ini.

Sementara itu, Ahmad Nadzarudin berkata pihaknya bercadang memperluaskan pelaksanaan inovasi baharu itu ke seluruh negara secara berperingkat.

"Saya memuji usaha Perkeso Terengganu yang sentiasa proaktif dalam menambah baik perkhidmatan mereka demi kepuasan pelanggan. Mereka juga rajin turun padang untuk menyampaikan bantuan kepada waris pencarum yang memerlukan," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel