Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pengundi Melayu sedar kepentingan calon Pakatan Harapan - Muhyiddin Yassin


Tarikh kemaskini: 07/11/2019





PONTIAN, 7 Nov -- Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sudah ada kecenderungan daripada pengundi Melayu di Parlimen Tanjung Piai tentang pentingnya untuk memilih calon Pakatan Harapan (PH) berbanding calon lain pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) itu 16 Nov ini.

Beliau berkata ini kerana kerajaan PH melalui calon mereka Karmaine Sardini, komited untuk membangunkan Tanjung Piai menerusi pelbagai tawaran dan pakej menarik, di peringkat negeri dan peringkat nasional yang menanti untuk dilaksanakan. 

“Umumnya ada peningkatan, tapi saya beritahu mereka belum lagi memadai, kalau boleh lebih besar. Tempoh untuk beberapa hari akan datang, tempoh yang agak kritikal, untuk pertamanya kita jelaskan apakah yang diperjuangkan PH dan calon kita. Komitmen kita adalah terus membangunkan Tanjung Piai sebagai satu kawasan berpotensi dan antara perkara kita yang kita berikan perhatian adalah masalah isu kos sara hidup.

“Saya dalam mesyuarat dengan Perdana Menteri telah berbincang untuk melihat tindakan berkesan diambil untuk menangani kos harga barang, mencukupi, mengeluarkan bekalan jangka panjang dan sebagainya,” katanya di sini hari ini.

Menteri Dalam Negeri itu berkata demikian dalam sidang media bersama-sama Karmaine pada hari keenam kempen PRK tersebut.

Muhyiddin berkata isu lain yang turut dibincangkan adalah mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan muda, infrastruktur kesihatan, rumah mampu milik dan pelan pembangunan industri pelancongan di Tanjung Piai.

“Satu lagi saya bincang, kita minta di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, satu pelan pembangunan industri pelancongan diwujudkan di Tanjung Piai kerana ada potensi pelancongan, hasil makanan dan tempat-tempat menarik. 

“Malahan saya fikir kita boleh mulakan bila-bila masa. Untuk buat perancangan, galakkan homestay, dan produk pelancongan baru. Ini satu tawaran kita untuk bangunkan Tanjung Piai sebagai kawasan pelancongan,” katanya.

Ditanya mengenai strategi PH memenangi Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang kalah sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, Timbalan Presiden PH itu berkata sokongan semua pihak baik pengundi Melayu dan bukan Melayu perlu terus dipertahankan dan tidak meletakkan jentera dalam keadaan selesa tetapi sentiasa bekerja keras dan bersiap sedia.

Muhyiddin berkata PH juga sedar wujud sentimen berkaitan penurunan sokongan pengundi Cina berikutan isu kos sara hidup dan ekonomi

“Ada yang berkata ini bukan isu baru Tan Sri, tetapi sudah tiga empat tahun. Kalau dikira, itu bukan zaman PH tetapi zaman BN. Kita menghadapi bahana perbuatan itu. Soal skandal berleluasa, wang berbilion (hilang), 1MDB, Felda, Tabung Haji.

“ Jadi kita peringatkan balik., selama setahun tengah (PH memerintah), boleh ubah 60 tahun (masalah sewaktu BN memerintah)? Yang penting bagi pengundi Cina, dia yakin, tapi nak tengok dalam tempoh dua tiga tahun akan datang. Ini pilihan raya kecil. Anda rasa (Datuk Seri Dr) Wee Jeck Seng (calon BN) boleh beri suntikan yang baik, tingkatkan segala-galanya? Mustahil,” katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Pada PRK ini, Karmaine berdepan pertandingan enam penjuru, melawan calon BN daripada MCA Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Hari pengundian PRK ditetapkan pada 16 Nov ini.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Ops Catut PSP: KPDNHEP Sabah hantar notis pengesahan kepada 15 kilang

 
     

Dua buah PPS dibuka di Kuching setakat 8.00 malam

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel