Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PROTUNe Selangor catat jualan RM2.7 juta


Tarikh kemaskini: 07/11/2019





SHAH ALAM, 7 Nov -- Program Tunas Niaga (PROTUNe) peringkat negeri Selangor mencatatkan rekod jualan RM2.7 juta dengan jumlah keuntungan keseluruhan hampir RM700,000 menerusi penglibatan 50 syarikat daripada sekolah-sekolah terpilih tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata rekod jualan dan jumlah keuntungan itu menunjukkan peningkatan yang amat positif berbanding tahun sebelumnya.

“Rekod jualan yang dicatatkan tahun ini meningkat kepada RM2.7 juta berbanding RM2.2 juta pada tahun lepas. Jumlah keuntungan juga meningkat hampir RM30,000 iaitu RM671,780 tahun ini berbanding RM645,307 tahun lepas.

“Peningkatan sangat positif ini membuktikan komitmen dan kesungguhan golongan usahawan muda kita yang sangat kreatif dalam merangka perancangan pemasaran dan mencari kaedah paling efektif untuk melariskan produk mereka,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen PROTUNe Selangor kali ke-21 di sini, hari ini.

Katanya, sejumlah 1,250 peserta terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima dan 100 guru daripada 50 sekolah terpilih terlibat dalam program PROTUNe tahun ini.

Mengulas lanjut, Mohd Azizi menyifatkan penganjuran konvensyen itu adalah bukti usaha berterusan PKNS dalam melahirkan lebih ramai generasi usahawan muda sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk merancakkan lagi ekonomi menerusi kluster keusahawanan.

Katanya, sejak PROTUNe diwujudkan 20 tahun lepas, sebanyak 24,325 usahawan muda dilahirkan dengan 975 syarikat daripada sekolah-sekolah terpilih seluruh Selangor didaftarkan sebagai Sdn Bhd dan ia merupakan antara inisiatif PKNS untuk memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan generasi muda.

Tambah Mohd Azizi, program berkenaan juga disifatkan sebagai platform kepada peserta untuk memperoleh ilmu keusahawanan menerusi aktiviti yang dijalankan antaranya bengkel, seminar bimbingan berkaitan pengurusan syarikat selain latihan pengurusan perniagaan secara pratikal seperti penjualan produk makanan dan minuman, seni kraftangan serta pakaian.

Pada konvensyen tersebut, syarikat Aspirasi Kencana Sdn Bhd kendalian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, Shah Alam muncul pemenang Anugerah Syarikat Terbaik dan membawa pulang trofi, sijil serta wang tunai sebanyak RM1,000.

Selain anugerah utama itu, sebanyak 12 lagi kategori anugerah PROTUNe dipertandingkan tahun ini antaranya Laporan Kewangan Terbaik, Pekerja Terbaik, Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik, Sekolah Terbaik dan Perkhidmatan Terbaik.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel