Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pemberian bantuan khas nelayan bukan isu - MB Johor


Tarikh kemaskini: 07/11/2019





PONTIAN, 7 Nov -- Kerajaan negeri Johor menyifatkan pemberian bantuan khas nelayan sebanyak RM1,000 yang diumumkan semalam, tidak sepatutnya dijadikan isu.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata sebaliknya bantuan khas itu merupakan bantuan yang diberikan kerajaan negeri selama beberapa tahun sebelum ini.

“Yang beri itu ialah kerajaan (negeri). Saya rasa tiada masalah.

“Ini adalah elaun yang sebelum ini pernah diberi. Sebelum ini, setiap tahun, bantuan khas ini diberi, pada pandangan saya tiada isu,” katanya kepada pemberita sewaktu pembukaan semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup, dekat  sini, hari ini.

Dr Sahruddin berkata demikian ketika ditanya sama ada pemberian bantuan khas ini menyalahi undang-undang semasa tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Menurut beliau, bantuan khas itu akan diberikan secara berperingkat mengikut kawasan, dan bukannya secara ansuran mulai minggu depan.

“Kita baharu sahaja lulus pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) semalam. (Bantuan khas) ini hanyalah kepada nelayan yang terlibat di Johor selatan sahaja,” kata menteri besar ketika ditanya mengapa pengumuman mengenai bantuan khas itu dibuat dalam tempoh PRK itu.   

Dr Sahruddin pada sidang media di Iskandar Puteri semalam berkata seramai 1,513 nelayan bakal menerima bantuan khas nelayan sebanyak RM1,000, melibatkan anggaran lebih RM1.5 juta.

Nelayan yang terlibat adalah seramai 432 nelayan di Gelang Patah dan Pulai, seramai 537 orang nelayang di Pasir Gudang, Johor Bahru dan Tebrau serta 544 nelayan di Pontian, termasuk Tanjung Piai.

Sementara itu, Dr Sahruddin menafikan dakwaan bahawa beliau “bengang dan marah” dengan jentera Barisan Nasional (BN) ketika bertembung, sewaktu beliau berkempen bersama calon Pakatan Harapan Karmaine Sardini di sebuah pasar lambak, berdekatan Parit Hj Adnan, dekat sini, petang semalam.

“Saya tidak bengang, marah. Saya cuma minta izin untuk bercakap, saya tiada apa-apa isu. Saya juga bersalaman (dengan mereka). Saya rasa mereka yang (terasa). Saya relaks sahaja, hendaklah kita selidik dulu dan berfikiran positif,” kata beliau.

Dr Sahruddin, yang juga Pengarah Jentera PH bagi PRK Tanjung Piai, berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan yang beliau “bengang” dengan tindakan segelintir jentera BN dan cuba mengambil mikrofon yang ketika itu dipegang oleh Exco Pemuda UMNO Farhan Khairuddin.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     

FAMA sumbang RM49,084 kepada keluarga lapan wira negara terkorban semasa Op Daulat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel