Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Terengganu giat promosi pelancongan di WTM 2019, London


Tarikh kemaskini: 07/11/2019





KUALA TERENGGANU, 7 Nov  -- Kerajaan Terengganu terus mempergiatkan usaha mempromosikan produk pelancongan negeri dan kempen Tahun Melawat Malaysia (Visit Malaysia 2020) melalui penyertaan di World Trade Market (WTM) yang berlangsung mulai Isnin lalu di ExCel, London.

WTM 2019 adalah forum pelancongan terbesar di dunia yang disertai lebih 5,000 penyertaan dari 200 negara di seluruh dunia bagi mempromosikan keunikan dan tarikan pelancongan negara masing-masing.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata WTM 2019 adalah platform terbaik bagi memperkenalkan Terengganu kepada agensi pelancongan dan media seluruh dunia.

"Penyertaan Terengganu di WTM 2019 adalah satu lonjakan yang hebat kepada sektor pelancongan negeri, kerana di sini kita dapat mempromosikan keindahan yang tersendiri terutama keunikan seni budaya, keindahan alam semulajadi dan eko pelancongan yang ada di Terengganu. 

"Malah, rakyat Terengganu juga sangat teruja untuk menerima kehadiran pelancong kerana mereka sendiri terlibat di dalam aktiviti pelancongan komuniti di seluruh negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Samsuri bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman serta penggiat industri turut menghadiri majlis perasmian pavilion Tourism Malaysia di WTM 2019 pada Isnin lalu.

Antara yang mencuri perhatian pengunjung ialah keunikan jambatan angkat yang baru sahaja menerima anugerah emas dalam kategori Ikon Pelancongan Baharu Terbaik oleh Majlis Pelancongan Malaysia baru-baru ini.

Sepanjang WTM 2019 berlangsung, duta pelancongan Terengganu, Kareef Danial atau dikenali sebagai ‘Mat Dan’ telah diberi ruang khas untuk menceritakan rentetan pengalaman beliau di Terengganu dan mempromosikan produk-produk pelancongan yang terkenal di negeri itu.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel