Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

168 tong petrol tanpa permit sah dirampas di Semporna


Tarikh kemaskini: 08/11/2019




SEMPORNA, 8 Nov  -- Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna merampas sejumlah 168 tong jerikin berisi 25 liter petrol dalam dua kes berasingan di sebuah kampung di sini, Rabu lepas disyaki untuk diseludup ke negara jiran.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata seorang lelaki tempatan berumur 47 tahun ditahan kerana disyaki menyimpan 136 jerikin minyak petrol tanpa sebarang dokumen atau permit yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Kampung Kuala Bibang di sini.

"Semasa Operasi Pensura Khas, PPM Semporna bersama bahagian risikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) melakukan pemeriksaan terhadap sebuah stor berkunci yang disyaki menjadi tempat penyimpanan minyak petrol bersubsidi di sebuah kedai runcit di kampung berkenaan kira-kira 11 malam.

“Tangkapan dan kesemua rampasan yang bernilai RM184,736 dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pajeri berkata pada hari yang sama, PPM Semporna telah memeriksa sebuah bot mencurigakan di kampung tersebut kira-kira 6.40 petang dan menjumpai 32 tong jerikin berisi 25 liter petrol disyaki hendak diseludup ke Filipina.

Menurutnya, kesemua rampasan termasuk satu bot dan dua enjin sangkut dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut dengan jumlah rampasan bernilai RM25,664.

Selain itu, beliau berkata PPM turut merampas enam bot disyaki digunakan untuk aktiviti penyeludupan minyak petrol ke negara sama. 

"Bot tersebut termasuk lapan enjin sangkut jenama Yamaha dirampas dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM152,000 dan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel