Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Maklum balas sesi pendengaran awam IPCMC menggalakkan 


Tarikh kemaskini: 08/11/2019





ISKANDAR PUTERI, 8 Nov  -- Maklum balas yang diterima sepanjang sesi pendengaran awam mengenai Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) yang diadakan di beberapa negeri setakat ini adalah menggalakkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang Mengenai IPCMC, Ramkarpal Singh berkata maklum balas yang diterima merangkumi pandangan yang menyokong dan juga membantah penubuhan IPCMC tersebut.

Katanya, memandangkan maklum balas yang diterima menggalakkan, beliau berharap sesi pendengaran awam berkenaan dapat disempurnakan keseluruhannya pada minggu hadapan.

“Ini tujuan kami ditubuhkan iaitu untuk mengumpul maklum balas dan sekali lagi pada pandangan saya maklum balas (yang diterima) menggalakkan.

“Kami juga telah pun mendapat maklumat-maklumat dan fakta-fakta terbaru (hasil) daripada konsultasi yang mana ini amat bermakna bagi tujuan kami menyediakan laporan kami nanti," katanya ketika ditanya mengenai maklum balas yang diterima sepanjang sesi pendengaran IPCMC sebelum ini yang telah pun dilakukan di Sarawak, Pulau Pinang termasuk di Parlimen.

Beliau berkata demikian pada sidang media sesi pendengaran awam IPCMC di Iskandar Puteri yang turut dihadiri Setiausaha Dewan Rakyat merangkap Setiausaha Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang, Datuk Roosme Hamzah.

Ramkarpal berkata, pihaknya perlu menghantar laporan sebelum 18 Nov ini dan kemungkinan besar ia akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat pada 5 Dis.

Sesi pendengaran awam yang dilakukan di tiga negeri iaitu Sarawak, Pulau Pinang dan Johor yang sedang berlangsung pada hari ini, disertai kira-kira 269 individu dan badan bukan kerajaan (NGO).

Antara yang terlibat menyertai sesi pendengaran awam itu adalah pihak polis termasuk pegawai dan pesara, ahli akademik, peguam, persatuan-persatuan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Ramkarpal berkata sesi pendengaran awam di negeri yang terakhir iaitu di Kota Kinabalu, Sabah akan diadakan Ahad ini.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel