Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

136 orang terlibat dadah ditahan di Ujung Batu


Tarikh kemaskini: 08/11/2019





KEPALA BATAS, 8 Nov -- Polis menahan seramai 136 orang kerana terlibat dalam kegiatan pengedaran, menjual dan mengambil dadah dalam operasi khas di sarang penagih dadah di kawasan Ujung Batu, Jalan Bagan Dalam dekat sini bermula Isnin hingga Rabu, lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata operasi khas selama tiga hari berturut-turut itu telah berjaya melumpuhkan kawasan yang dikatakan tempat penjualan dadah secara terbuka.

"Operasi dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) SPU itu, kami menahan 136 lelaki berusia berusia 20 hingga 60 tahun kerana terlibat dengan kegiatan dadah termasuk menjual dan menghisap bahan terlarang itu," katanya di sini hari ini.

Katanya semua mereka yang ditahan itu  positif pelbagai jenis dadah dan siasatan juga mendapati lima daripada mereka ialah pengedar, 19 lagi memiliki dadah, tiga orang memang dikehendaki polis manakala seorang lagi memiliki air ketum.

Menurutnya seramai 108 orang di serahkan kepada AADK untuk siasatan menurut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 manakala mereka yang lain direman untuk siasatan lanjut sebelum didakwa di mahkamah.

Noorzainy berkata dalam operasi itu, polis turut merampas 7.5 gram(g) heroin, 6.4g syabu serta 500 mililiter air ketum yang kesemuanya bernilai RM1,275 dan ia boleh digunakan oleh 200 penagih dadah.

"Mereka menjadikan beberapa rumah kosong di kawasan itu sebagai tempat menjalankan jual beli dadah serta sarang untuk menghisap bahan terlarang tersebut," katanya.

Katanya pihak polis meletakkan balai polis bergerak, Ops Payung dan pasukan bergerak di kawasan Ujung Batu itu bermula semalam hingga 30 Nov ini bagi memastikan kegiatan pengedaran dan penagihan dadah lumpuh sepenuhnya di situ.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang Kept Maritim Hamizan Harun berkata seramai 12 nelayan ditahan selepas didapati positif dadah dalam Operasi Bersepadu dijalankan bersama AADK negeri di sekitar perairan Pulau Pinang bermula 8 pagi hingga 2 petang semalam.

"Dalam operasi itu seramai 46 nelayan telah menjalani saringan air kencing dan 12 daripada mereka termasuk tiga warga Thailand didapati positif ganja dan methamphetamine. Mereka (12 lelaki) yang positif dadah berusia 22 hingga 43 tahun ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel