Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Melaka nafi populasi babi hutan tinggi, meningkat ke tahap membimbangkan


Tarikh kemaskini: 08/11/2019





MELAKA , 8 Nov -- Kerajaan Negeri Melaka hari ini menafikan dakwaan yang dilaporkan  media semalam bahawa populasi babi hutan di negeri itu tinggi serta meningkat ke tahap membimbangkan, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau sebaliknya menegaskan bilangan babi hutan adalah adalah terkawal dan tidak memberi ancaman kepada penduduk, kerana pihak berkuasa khususnya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka memantau dengan ketat populasi haiwan tersebut.

"Kita akan dapatkan dulu pengesahan daripada Perhilitan tentang populasi (babi hutan) itu secara keseluruhannya, dan kita akan lihat balik faktor yang menyebabkan ia berlaku.

"Di Perhilitan ada beberapa inisiatif untuk menyelesaikan isu babi ini, manakala di peringkat kerajaan negeri memang haiwan liar ini kita sediakan peruntukan dan kita usahakan untuk tambah lagi pada masa hadapan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Hari Bertemu Rakyat Perdana Siri 4 Tahun 2019 dan Pelancaran Aplikasi Pintar Respons Rakyat Melaka di Tanjung Kling di sini.

Semalam, sebuah media berbahasa Inggeris melaporkan populasi babi hutan di negeri itu tinggi serta membimbangkan di 30 kawasan di negeri itu dan 457 ekor babi hutan dihapuskan dalam 10 bulan pertama tahun ini. 

Adly berkata isu berkenaan masih boleh diatasi menerusi pelbagai pendekatan antaranya dengan menembaknya serta melihat semula pengurusan hutan yang menjadi tempat pembiakan haiwan tersebut.

Beliau berkata haiwan tersebut keluar dari tempat pembiakan kerana kebanyakan kawasan itu telah diganggu gugat aktiviti pembangunan oleh manusia.

"Kalau ada kerjasama yang baik daripada semua pihak kawalan boleh dibuat dan adalah satu keperluan adanya kawasan tertentu bagi habitat haiwan itu hidup dan membiak selain untuk kelestarian alam," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel