Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kehadiran Muhd Faris mampu naikkan kembali TFC - Nafuzi


Tarikh kemaskini: 08/11/2019




KUALA TERENGGANU, 8 Nov  -- Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi  Zain yakin kehadiran pemain kelahiran Singapura, Muhd Faris Ramli dapat membantu menaikkan kembali nama pasukan itu di Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Nafuzi berkata beliau sudah lama mengikuti perkembangan pemain sayap tersebut ketika mewakili pasukan Lions XII dan berjaya membantu pasukan berkenaan menjuarai Piala FA pada 2015 sebagai pasukan jemputan.

Beliau berkata dengan pencapaian sebagai pemain terbaik Singapura tahun ini iaitu dengan 16 jaringan, Muhd Faris adalah pilihan tepat untuk mengisi posisi sayap TFC dan bergandingan dengan dua lagi pemain import iaitu Sanjar Shaakhmedov dan kapten pasukan, Lee Tuck. 

"Saya tertarik dengan Muhd Faris kerana dia memiliki corak permainan yang serasi dengan taktikal diterapkan TFC.

"Jadi saya harap kehadirannya dapat memberi impak positif kepada pasukan hitam putih musim depan," katanya ketika dihubungi hari ini.            

Mengulas lanjut, Nafuzi berkata Muhd Faris sepatutnya tiba di negeri ini awal Disember depan, tetapi terpaksa ditangguhkan berikutan beberapa tugasan yang belum selesai.

Menurut beliau buat masa ini khidmat Muhd Faris masih diperlukan bagi membantu skuad kebangsaan Singapura menghadapi temasya Sukan SEA di Filipina yang bakal berlangsung sehingga pertengahan Disember depan.

"Saya harap peminat skuad Penyu dapat bersabar menanti ketibaan Muhd Faris dan sama-sama memberikan sokongan bagi memajukan lagi bola sepak negeri musim depan," katanya.

Muhd Faris yang berusia 27 tahun pernah beraksi bersama pasukan PKNS FC pada 2018 dan kemudiannya berkhidmat untuk Hougang United FC dalam Liga Singapura tahun ini.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel