Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Program pencegahan tangani masalah bantut kanak-kanak - Dr Wan Azizah


Tarikh kemaskini: 08/11/2019





KOTA BHARU, 8 Nov -- Kerajaan telah menyalurkan peruntukan khas kepada Kementerian Kesihatan bagi menjalankan intervensi berkaitan kesihatan dan pemakanan untuk menangani masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Sehubungan itu, program berbentuk pencegahan sedang dilaksanakan dengan menyasarkan kumpulan ibu yang mengandung sehingga kanak-kanak berumur dua tahun.

"Program pendedahan isu bantut dalam kalangan kanak-kanak dilaksanakan di empat 'settings' iaitu kepada komuniti, sebaran melalui media massa, pengukuhan di pusat jagaan kanak-kanak, Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) kerajaan dan swasta serta pengukuhan perkhidmatan ibu dan anak di klinik kesihatan," katanya pada Majlis Perasmian Kick-Off #ANAKMALAYSIATINGGI di sini, hari ini.

Teks ucapan perasmian beliau dibacakan oleh Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Perdana Menteri Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Menurut Dr Wan Azizah, bagi fasa pertama tahun ini, Kementerian Kesihatan menumpukan aktiviti berbentuk kesedaran dan pengetahuan awam serta libat urus pelbagai agensi mengenai isu bantut dalam kalangan kanak-kanak.

Ia dilaksanakan melalui program bersama masyarakat, penyediaan bahan media, sesi latihan dan dialog interaktif bersama pengasuh dan ibu bapa yang menghantar anak ke TASKA kerajaan serta latihan pengukuhan kompetensi pertumbuhan dan pemakanan kanak-kanak dalam kalangan anggota kesihatan di klinik, katanya.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata kementeriannya juga sedang menyemak semula Dasar Kanak-kanak Negara, Dasar Perlindungan Kanak-kanak dan juga elemen kanak-kanak dalam Dasar Kesihatan Reproduktif dan Sosial untuk menjadi satu dasar kanak-kanak yang lebih komprehensif.

"Dalam usaha ini, Peta Laluan Kesejahteraan Kanak-kanak Kebangsaan kini dicadang dimasukkan sebagai input dalam semakan semula Dasar Kanak-kanak Negara yang baharu.

"Usaha sedia ada akan diteruskan termasuklah pelaksanaan strategi dan aktiviti yang telah digariskan dalam Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM) 2016-2025 untuk meningkatkan status pemakanan penduduk, mengurangkan penyakit tidak berjangkit dan memastikan jaminan kebolehdapatan makanan," katanya

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Dr Juli Edo dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Dr Zaini Hussin.

Pada majlis berkenaan, Wan Ahmad Uzir turut menyampaikan pemberian wang ehsan sebanyak RM500 hingga RM5,000 kepada 68 ketua isi rumah masyarakat Orang Asli suku Batek dari Kuala Koh susulan tragedi kematian 15 orang daripada masyarakat itu akibat jangkitan demam campak baru-baru ini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel