Sultan Muhammad V berkenan hadir Sambutan Maulidur Rasul
Tarikh kemaskini: 09/11/2019

TUMPAT, 8 Nov -- Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Kelantan di Masjid Al - Ismaili di Pasir Pekan di sini, malam ini.
Baginda turut diiringi Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra dan Tengku Temenggong Kelantan Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.
Hadir sama, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamed dan Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.
Pada sambutan itu, Sultan Muhammad V turut berkenan untuk solat Maghrib dan Isyak bersama ribuan jemaah yang diimamkan Imam Tua Masjid Al-Ismaili Datuk Baharuddin Abdullah.
Baginda turut berkenan mendengar ceramah khas sempena Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Ahli Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Prof Madya Wan Abdul Fattah Wan Hussin.
Sambutan turut dimeriahkan dengan berzanji dan qasidah serta berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
-- BERNAMA
|