Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pengurusan hutan, ekologi mampan penting kawal populasi babi hutan - petani


Tarikh kemaskini: 09/11/2019





MELAKA, 9 Nov -- Golongan petani memohon kerajaan negeri Melaka dan agensi seperti  Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memperkenal mekanisme baharu yang mampan dalam mengawal populasi babi hutan dan bukan hanya bergantung kepada kaedah menembak atau memerangkap haiwan itu.

Seorang pekebun sayur Rahmat Ali, 49, berkata masalah haiwan liar terutama babi hutan mengganggu dan merosakkan hasil tanaman penduduk Kampung Bukit Durian di sini berlaku setiap tahun, malah penduduk terpaksa menghabiskan RM300 hingga RM500 sekali sesi bagi tujuan menghapuskan haiwan itu.

“Bagi mengelak tanaman dirosakkan oleh haiwan liar, kami petani terpaksa mengeluarkan duit sendiri bagi mengupah pemburu menembak babi hutan dengan bayaran RM50 seekor dan RM30 seekor bagi kera.

"Sampai bila kami terpaksa menanggung kerugian ini, sudahlah tanaman rosak ditambah dengan kos upah menembak. Bagi saya usaha tambah baik pengurusan hutan dan alam sekitar adalah lebih baik daripada terus menembak haiwan ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Rahmat berkata mengupah pemburu menembak babi hutan dan kera bukan penyelesaian kekal bagi masalah ini kerana kumpulan baharu haiwan itu akan datang pada masa akan datang untuk kembali merosakkan tanaman petani.

Khamis lepas, sebuah media berbahasa Inggeris melaporkan populasi babi hutan di negeri ini tinggi serta membimbangkan di 30 kawasan di Melaka dan 457 ekor babi hutan dihapuskan dalam 10 bulan pertama tahun ini. 

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari semalam yang menegaskan populasi haiwan itu terkawal dan tidak memberi ancaman kepada penduduk.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail pula berkata tiada bukti atau laporan spesifik menyatakan peningkatan populasi babi hutan di Pulau Besar adalah disebabkan migrasi haiwan itu dari Sumatera, Indonesia, namun kajian mengenai dakwaan pertambahan populasi haiwan di kawasan terbabit perlu dilakukan. 

Ahmad berkata Perhilitan perlu mempunyai kaedah kawalan populasi haiwan liar itu selain mengambil kira bilangan, gangguan atau konflik dengan manusia, penyakit termasuk aspek sains seperti aspek pemuliharaan dan genetik.

Seorang lagi petani yang turut berkongsi masalah yang sama, Abdullah Ahmad, 47, dari Durian Tunggal di sini berkata babi hutan turut mengganggu rumah penduduk kampung dan kerajaan negeri harus mengambil tindakan segera kerana penduduk kampung tidak mampu mengatasi masalah ini secara sendiri.

“Babi hutan di kawasan ini biasa keluar pada awal pagi iaitu sekitar pukul 1 pagi dan ia bukan hanya merosakkan tanaman sebaliknya berkeliaran di sekeliling rumah. Jangan terlalu sibuk cari bukti babi hutan boleh berenang dari Sumatera.

“Kami orang kampung telah mencuba pelbagai cara untuk menghalau babi hutan dan kera daripada merosakkan tanaman kami dengan cara yang termampu termasuk menyediakan ramuan ubat gegat dan belacan bagi menghalau haiwan liar ini namun ianya bersifat sementara,” katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel