Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pakcik teng teng basikal tiga roda 'legend' di Ipoh


Tarikh kemaskini: 10/11/2019





Oleh Nadia Jumri

IPOH, 10 Nov -- 'Pakcik mi' atau 'Pakcik teng teng' bukanlah nama asing bagi penduduk Ipoh khususnya di bandar Meru, kerana warga emas itu bukan hanya menjual pelbagai jenis makanan berasaskan mi dan kuey teow, tetapi menggunakan basikal tiga roda. 

Berkongsi mengenai nama jolokan itu, Mohd Noor Ya, 64, berkata ia diberi orang ramai khususnya pelanggan kerana beliau akan mengetuk pinggan menggunakan sudu bagi memberitahu kehadirannya di sesuatu taman, semasa mula berniaga 33 tahun lepas. 

Mohd Noor yang berasal dari Selama juga dianggap sebagai 'legend' kerana berniaga di sekitar Meru hanya dengan menggunakan basikal tiga roda yang dibelinya pada harga RM340 sekitar tahun 1980 di Pulau Pinang. 

"Mula-mula berniaga di pekan Pulau Pinang menggunakan basikal ini dan ia masih lagi kukuh, kuat buatannya sehingga hari ini.

"Seumur hidup tidak pernah buat kerja lain, selepas habis sekolah bekerja menjual ikan. Tapi bila telah berkeluarga, perlu mencari rezeki lebih, jadi pakcik dan isteri tekad membeli rumah di Ipoh dan berniaga menjual mi dan kuey teow,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai perniagaannya, Mohd Noor yang mempunyai empat orang anak berkata idea menggunakan basikal roda tiga lahir daripada arwah bapa mentuanya di Pulau Pinang kerana ketika itu ramai di negeri Pulau Mutiara tersebut menggunakan kaedah sama. 

Katanya selepas berhijrah ke Ipoh, beliau dan isteri, Azizah Mat, 63, memulakan perniagaan dengan menggunakan basikal tiga roda di beberapa taman sekitar Meru antaranya Taman Jati, Taman Meru 3C dan Taman Meru 3B. 

"Isteri mengayuh basikalnya sendiri menemani saya menjual. Saya ketuk sahaja pinggan, maka ramailah keluar panggil pakcik mi atau abang mi, orang tempah dan saya masak, manakala isteri ambil pinggan pelangan untuk diisi dengan mi yang telah masak.

"Mi dan kuey teow yang saya jual cepat habis di satu taman sahaja. Jadi mereka yang tinggal di taman lain tidak dapat merasa. Sejak itu saya menjual di satu tempat tetap sahaja iaitu di tepi jalan di Taman Jati bagi memudahkan pelanggan, namun tetap dengan basikal tiga roda ini," katanya. 

Ditanya mengapa mi dan kuey teow menjadi pilihan, Mohd Noor berkata beliau hanya tahu memasak dua sajian itu, namun mengakui walaupun tiada ramuan istimewa tapi ia tetap menjadi pilihan ramai.

"Tiada ramuan atau resepi istimewa, tapi cili perlu goreng lama, air stok daging perlu masak dengan lama. Biasa-biasa sahaja masakan ini tapi Alhamdulillah masih ada pelanggan setia yang membeli," katanya.

Mengenai harga jualan, Mohd Noor berkata sebungkus dijual pada harga RM5 selain turut menyediakan  minuman percuma seperti teh tarik, air sirap atau air oren, namun pelanggan perlu membawa sendiri cawan.

"Sekarang isteri tidak lagi bantu saya berniaga cuma teman ke pasar untuk membeli barangan mentah antaranya mi, kuey teow dan daging yang mencecah sehingga RM400," katanya sambil menambah kira-kira 100 bungkus dijual setiap hari.

Beliau berkata perniagaannya beroperasi setiap hari kecuali Selasa dan Jumaat dari 3 petang hingga 10 malam dengan dibantu seorang daripada anak lelakinya. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     

FAMA sumbang RM49,084 kepada keluarga lapan wira negara terkorban semasa Op Daulat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel