Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan negeri mohon perkenan Sultan warta Taman Tasik Diraja


Tarikh kemaskini: 10/11/2019





KUALA KANGSAR, 10 Nov -- Kerajaan negeri Perak hari ini memohon perkenan daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah untuk mewartakan Taman Tasik Taiping merangkumi Bukit Larut sebagai Taman Tasik Diraja.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika menyembah maklum cadangan itu kepada Sultan Nazrin berkata apabila diwartakan kelak, sebarang pembangunan di seluruh kawasan itu pada masa hadapan perlu mendapat perkenan Sultan Perak. 

"Taman Tasik Taiping adalah satu warisan yang amat berharga. Kerajaan negeri berpendirian, kawasan ini wajib dilindungi daripada sebarang aktiviti pembangunan yang boleh mencacatkan keindahan semulajadinya," katanya. 

Beliau berkata demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia, Menjunjung Duli dan Penganugerahan Darjah Kebesaran negeri Perak sempena Hari Keputeraan ke-63 Sultan Nazrin di Istana Iskandariah di sini, hari ini.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan Perak menyasarkan pelancongan sebagai sektor serampang dua mata kerana selain memacu pertumbuhan sektor perkhidmatan ia juga dapat merakyatkan ekonomi rakyat.

"Negeri Perak adalah tanah pusaka yang kaya dengan khazanah warisan, bangsa, budaya, dan sejarah. Khazanah warisan ini merupakan aset peradaban yang menjadi sumber tarikan pelancongan dari dalam dan luar negara," katanya. 

Menyentuh tentang kebajikan rakyat, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri memberi tumpuan serius kepada usaha menambahbaik jaringan keselamatan sosial sedia ada termasuk memperkenalkan program Kad Perak Prihatin yang memberi manfaat kepada 17,000 isi rumah tahun ini. 

Katanya usaha itu akan diperluaskan lagi pada tahun hadapan bagi membela lebih ramai golongan kurang bernasib baik selain ditambah nilai dengan pengenalan program ‘exit policy’ bertujuan mendayaupayakan penerima bantuan terpilih.

Dalam ucapannya, beliau yang mewakili kepimpinan kerajaan negeri berikrar untuk  memelihara kemuliaan pemerintahan beraja  bertepatan dengan ikrar memperkukuhkan tradisi negeri bersultan dan rakyat beraja, yang diwarisi sejak ratusan tahun. 

"Patik sekalian menjunjung tekad untuk memastikan kedaulatan pemerintahan sistem beraja di negeri ini terus subur, elok terjaga, berpadan dengan peredaran waktu dan kekal utuh sepanjang zaman, menjadi payung negeri, menaungi kedaulatan setiap inci tanah negeri dan memayungi jiwa setiap anak negeri, sehingga patik dan sekalian rakyat berasa amat selesa, bahagia, gembira dan damai di hati. 

"Patik sekalian juga menjunjung tekad kesetiaan tidak berbelah bahagi ke hadrat Duli Tuanku dan memastikan kerukunan dan kesusilaan menjadi teras keharmonian negeri ini," kata Ahmad Faizal.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel