Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

36 sekolah di Kedah jadi perintis 'Eco-Schools'


Tarikh kemaskini: 10/11/2019




ALOR SETAR, 10 Nov -- Sebanyak 36 buah Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Kedah terpilih menjadi perintis bagi program ‘Eco-Schools' yang bertujuan memupuk kesedaran memelihara alam sekitar dalam kalangan pelajar sekolah.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata program anjuran Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah) dengan kerjasama Green Growth Asia Foundation (GGAF) dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah itu akan dijalankan selama tiga tahun bermula tahun hadapan.

"Kedah merupakan negeri kedua yang terlibat dalam program ini selepas Melaka dan sekolah yang terpilih ini akan menjadi 'duta' di kawasan setempat sekolah masing-masing dalam usaha untuk mencari penyelesaian kepada isu alam sekitar yang berlaku.

"Para pelajar dan warga sekolah akan diberi pendedahan mengenai cara menjaga, memelihara dan menjadi agen dalam memastikan kelestarian alam di negeri ini dengan bimbingan pihak GGAF," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan program ‘Eco-Schools’ peringkat negeri di Pusat Sains Negara Cawangan Alor Setar yang turut dihadiri Ahli Jawatankuasa Penasihat dan Penasihat Strategik GGAF, Datuk Lim Sue Beng dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar negeri Simon Ooi Tze Min.

Mukhriz berkata melalui program berkenaan, ia juga dapat mendidik pelajar untuk mengubah sikap dan pemikiran serta mempraktikan amalan hidup yang baik terutama dalam penjagaan alam sekitar bermula daripada usia muda.

"Mereka (pelajar) juga akan diberi pendedahan mengenai isu-isu berkaitan alam sekitar termasuk perubahan iklim dan pencemaran. Saya harap program ini akan menjadi landasan kepada sekolah untuk menyumbang ke arah peningkatan kualiti alam sekitar.

"Kerajaan negeri juga sangat komited dalam penjagaan alam sekitar ini dan banyak usaha telah diambil termasuk 'Agenda Hijau' yang dilancarkan sebelum ini untuk menerapkan kepentingan memelihara alam sekitar di dalam pembangunan," katanya.

Sementara itu, Lim berkata program itu melibatkan fasa persediaan bagi tahun pertama, manakala tahun kedua adalah untuk pelaksanaan dan tahun ketiga adalah bagi penyediaan laporan pencapaian dan penganugerahan.

"Kami harap semua sekolah di negeri ini terlibat, tapi sebagai permulaan hanya 36 sekolah perintis terpilih dan mungkin pada masa hadapan jumlah sekolah akan ditingkatkan demi kesejahteraan dan kelestarian alam di Kedah," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel