Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan mahu Program TUBE diperluas kepada asnaf


Tarikh kemaskini: 10/11/2019





SINTOK, 10 Nov  -- Kerajaan berharap SME Corporation Malaysia (SME Corp) dapat  memperluaskan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) kepada para asnaf bagi melahirkan lebih ramai usahawan dan ahli perniagaan, sekaligus menambah baik kualiti hidup golongan itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata langkah itu juga adalah sebagai usaha untuk mentranformasikan golongan asnaf daripada status penerima zakat kepada pembayar zakat.

Beliau berkata untuk merealisasikan hasrat itu, kerajaan menyarankan agar pihak SME Corp bekerjasama dengan majlis agama Islam di setiap negeri bagi mengenal pasti golongan asnaf yang berpotensi.

“Buat masa ini (sudah ada) program yang dinamakan  Program Tunas Usahawan  Baitulmal (PTUB), yang merupakan jalinan kerjasama antara Majlis  Agama Islam Wilayah Persekutuan ( MAIWP) dan SME Corp, melibatkan 100 orang peserta.

"Majlis agama islam negeri lain pun dah maklum mengenai program ini dan saya berharap supaya majlis-majlis agama negeri atau pihak zakat negeri akan ambil ini sebagai satu kaedah untuk membantu asnaf dan melahirkan usahawan berjaya," katanya pada Majlis Pembukaan TUBE 6.0 yang melibatkan penyertaan seramai 95 orang peserta zon Utara  di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa  Pembangunan Usahawan, Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni Budaya negeri, Mohd Asmirul Anuar Aris dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Noor Azmi Mat Said.

Dr Mohd Hatta berkata untuk tahun ini, menerusi TUBE seramai 556 calon belia termasuk 29 peserta orang kelainan upaya (OKU) menjalani latihan di lima pusat latihan dan kem di seluruh negara selama tiga minggu bermula  pada 3 Nov lepas.

Katanya kesemua peserta akan melalui tiga fasa bagi mempersiapkan diri sebelum memulakan perniagaan agar memiliki daya tahan dari segi mental dan fizikal.

Menurutnya peserta didedahkan dengan landskap dan cabaran dunia perniagaan yang sebenar dan selepas tamat latihan peserta dipantau dan dibimbing selama 12 bulan menerusi sistem ‘buddy’ oleh kaunselor perniagaan SME Corp.

TUBE yang dilancarkan sejak dua tahun lepas mendapat sokongan lebih 30 rakan strategik di peringkat persekutuan dan negeri antaranya Kementerian Pendidikan Malaysia,  Kementerian Belia dan Sukan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, SME Bank, Perbadanan Harta Intelek Malaysia, Malaysia Digital Economy Corporation, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Pertahanan Malaysia.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     

Sultan Selangor berkenan hadir ke Jamuan Teh Diraja

 
     

LTTE: Permohonan ikat jamin dua ADUN, ketua pegawai perbadanan didengar Isnin

 
     

Dewan Negara: LPT2 catat 246 kes kemalangan maut dari Januari 2016-Oktober 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel