Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pencemaran laut boleh ancam nyawa nelayan


Tarikh kemaskini: 10/11/2019





GEORGE TOWN, 10 Nov  -- Masalah pencemaran pantai dan laut yang semakin menjadi-jadi disebabkan oleh sikap manusia yang tidak bertanggungjawab bukan sahaja menjejaskan ekosistem hidupan laut malah boleh mengancam nyawa para nelayan.

Seorang nelayan, Ismail Din, 75, berkata sejak 10 tahun kebelakangan ini masalah pencemaran laut dilihat semakin serius dengan sampah sarap dibuang ke dalam longkang dan sungai yang akhirnya akan turun ke laut dan mengakibatkan sisa buangan itu tersangkut pada enjin bot nelayan.

"Kami terpaksa lepaskan benda yang tersangkut di kipas (enjin) kerana enjin bot akan mati. Bila laut bergelora, ia mengancam nyawa kami tetapi kami terpaksa buat sebab mahu hidupkan enjin.

"Proses pembuangan sisa yang tersangkut pada kipas enjin adakalanya mengambil masa sekitar 30 minit malah ada nelayan terpaksa menyelam untuk mengalihkan sisa buangan yang sukar seperti pukat dan kain," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada program Projek Kesedaran Sungai Pulau Pinang, di sini hari ini.

Sebanyak 416 kilogram sampah berjaya dikutip di persisiran pantai di Tanjung Bungah, dekat sini oleh 50 orang awam yang menyertai program berkenaan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri Zairil Khir Johari.

Ismail yang berpengalaman selama 63 tahun sebagai nelayan berkata beliau juga pernah beberapa kali menyelamatkan penyu yang tersangkut pada sisa plastik serta ikan lumba-lumba yang tersangkut pada pukat hantu. 

"Di sini banyak juga pelancong asing. Kita patut berasa malu kerana pantai kita kotor, imej kita dah tercemar kerana kelalaian kita juga. Rakyat jadi mangsa, pelancong pun tidak seronok. Lama kelamaan pelancong sudah tidak mahu ke sini," katanya. 

Ketua Persatuan Nelayan Tanjung Bungah itu bagaimana pun bersyukur kerana komuniti nelayan dan kampung tanpa mengira bangsa serta agama sentiasa menjalankan aktiviti gotong-royong pembersihan pantai dan laut secara berkala.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel