Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan negeri sedia terima cadangan perkasakan Johor dalam pembangunan lestari


Tarikh kemaskini: 10/11/2019





KOTA TINGGI 10 Nov  -- Kerajaan negeri menyambut baik hasrat mana-mana pihak yang dapat memperkasakan Johor secara menyeluruh dengan memberi penekanan terhadap pembangunan lestari.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata cadangan untuk membuka Dwi Emas International School, sekolah keusahawanan antarabangsa pertama di Pengerang dan di negeri ini amat dialu-alukan. 

Kampus sekolah berkenaan akan menjadi cawangan ketiga bagi Ace EdVenture Group selepas pembinaan kampus sekolah di Shah Alam dan Petaling Jaya. 

"Kerajaan negeri menyambut baik perancangan berkaitan komponen pembangunan negeri berasaskan kebitaraan wilayah termasuk kawasan luar bandar bagi meningkatkan lagi penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Galeri Jualan Innocity dan majlis menandatangani memorandum persefahaman Sekolah Antarabangsa Projek Pembangunan Perumahan dan Komersial YPJ Plantation & 1 Target Land di Pengerang di sini hari ini.

Innocity merupakan projek pembangunan bercampur seluas 202 hektar di Sungai Rengit, Pengerang yang dibangunkan oleh Green Target Group dan YPJ Plantations Sdn Bhd.

Dr Sahruddin berkata kerjasama strategik berkenaan bukan sahaja dapat memberi pulangan hebat, malah bakal menjadi nilai tambah yang komprehensif kepada pembangunan ekonomi dan sosial, kawasan Pengerang dan sekitarnya. 

"Kawasan ini direka sebagai  perbandaran yang mampan dan boleh didiami dengan komponen lain seperti kediaman, kedai runcit, kompleks beli-belah, kemudahan rekreasi, pusat pendidikan serta klinik atau hospital.

"Kesemua komponen pembangunan tersebut merangkumi unsur-unsur yang strategik iaitu pintar, selamat, hijau, dan merealisasikan serta mewujudkan bandar yang ideal untuk kehidupan holistik, " katanya.

Turut hadir Pengarah Urusan Green Target Group Datuk Tan Hong Lai, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YPJ Holding Salehuddin Hassan, CEO dan pengasas Dwi Emas International School, Anne Tham. 

-- Bernama

   

 
 
     
   
 

Ops Catut PSP: KPDNHEP Sabah hantar notis pengesahan kepada 15 kilang

 
     

Dua buah PPS dibuka di Kuching setakat 8.00 malam

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel