Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Enam hospital di Johor dikhususkan perkhidmatan kelahiran bayi pramatang


Tarikh kemaskini: 11/11/2019





BATU PAHAT, 11 Nov  -- Enam hospital di negeri ini telah dikhususkan untuk mempunyai perkhidmatan kelahiran bayi pramatang bagi mengelak kematian bayi baru lahir, yang mana kelahiran pramatang merupakan penyumbang utama kematian bagi bayi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata mengikut rekod terdapat satu kelahiran bayi pramatang bagi setiap 10 kelahiran.

Katanya, bagi khidmat kelahiran pramatang ini ianya dibahagikan kepada dua kaedah iaitu untuk kaedah neonatologi yang terdapat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru serta Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar.

“Bagi kaedah pediatrik yang lebih kepada penjagaan adalah di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat, Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang dan Hospital Segamat,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan World Prematurity Day Peringkat Negeri Johor di Dewan Jubli Intan Batu Pahat yang turut dihadiri oleh Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Aman Abu dan Pegawai Daerah Batu Pahat Zulkiflee Abbas.

Mohd Khuzzan berkata bagi mencegah kelahiran pramatang ini, kesemua enam hospital berkenaan akan mempunyai khidmat kaunseling terutamanya berkaitan diet pemakanan serta pemeriksaan ukuran janin dengan menggunakan kaedah ultrabunyi yang akan mempunyai lapan kali perjumpaan.

Katanya, dalam usaha memberikan kesedaran kepada orang ramai berkaitan kelahiran bayi pramatang ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memutuskan setiap 17 Nov didedikasikan sebagai Hari Bayi Pramatang Sedunia.

“Melalui sambutan ini penerangan berkaitan meningkatkan kesedaran, pencapaian dan penglibatan seluruh dunia mengenai isu-isu kelahiran, kesihatan bayi dan kelangsungan hidup bayi pramatang ini diberikan.

“Kita juga kini giat menambah baik mutu perkhidmatan kejururawatan neonatal yang berkualiti selain penyediaan perkhidmatan neonatal kepada semua pesakit tanpa mengira latar belakang serta memperkukuh sistem data bagi setiap kelahiran,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel