Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Empat tapak pembuangan sampah haram di Johor ditutup


Tarikh kemaskini: 11/11/2019





JOHOR BAHRU, 11 Nov -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor berjaya menyita dan menutup empat tapak pembuangan sampah haram menerusi operasi membanteras sampah haram yang dilakukan selama dua hari berturut-turut.

Pengarahnya, Cairul Hisham Jalaluddin berkata empat kawasan yang ditutup adalah di Jalan Teratai Taman Johor Jaya, Kampung Plentong dan dua kawasan di Ulu Choh, Gelang Patah.

Katanya, operasi yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawal Selia, Ibu Pejabat SWCorp Malaysia, Mohd Zaki Harry Susanto itu dilakukan hasil maklumat orang awam dan risikan selama dua bulan.

“Kita dapati kesemua kawasan berkenaan menjalankan operasi secara haram malah ada di antaranya pernah dikenakan tindakan penguatkuasaan sebelum ini.

“Kita juga telah menyita empat jentera termasuk dua lori di kawasan berkenaan selain turut mengenal pasti beberapa lori lain yang menjadikan salah sebuah kawasan sebagai lokasi tetap pembuangan sisa binaan serta sisa domestik dan tindakan susulan terhadap lori-lori tersebut akan diambil dalam kadar segera kerana pembuktian kesalahan yang mereka lakukan telah diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, enam lelaki yang bertindak sebagai operator tapak sampah haram dan pemandu lori turut diambil keterangan bagi tujuan rakaman percakapan.

“Kita memberi amaran kepada mereka yang menyalahgunakan tanah sebagai tapak pembuangan sampah haram supaya memberhentikan operasi kerana kita tidak akan berkompromi dalam hal ini.

"Kita juga akan mengesyorkan agar kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap penyalahgunaan tanah tanpa mengira status tanah sama ada hak milik persendirian, tanah rizab dan sebagainya,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, cubaan seorang lelaki memberi sogokan kepada pegawai penguat kuasa mengundang padah apabila sogokannya ditolak.

Lelaki tersebut diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor untuk tindakan lanjut dan ini merupakan kes pertama melibatkan kesalahan sampah haram di Johor yang dirujuk kepada pihak SPRM.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel