Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kutipan cukai tanah Melaka meningkat kepada lebih RM237 juta


Tarikh kemaskini: 11/11/2019





MELAKA, 11 Nov -- Kutipan cukai tanah di Melaka mencatatkan peningkatan 6.91 peratus kepada RM237.36 juta dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini berbanding RM222.02 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata peningkatan itu selaras dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi memudahkan kutipan cukai dilakukan termasuk meletakkan kaunter bergerak di kawasan tumpuan ramai di tiga daerah di negeri itu.

Katanya insentif ditawarkan antaranya pengecualian denda lewat, pemberian premium nominal bagi permohonan lanjut Tempoh Pajakan kepada Kampung Baru dan pendaftaran hak milik baharu bagi permohonan tanah kerajaan individu dalam tempoh satu jam selepas pembayaran Notis 5A menyumbang kepada peningkatan itu.

"Kerajaan negeri sentiasa membuat penilaian terhadap sistem kutipan cukai di negeri itu dan insentif yang diberikan bertujuan menggalakkan lebih ramai pemilik tanah membayar cukai awal setiap tahun yang sehingga kini Melaka mempunyai lebih 350,000 pemilik tanah.

"70 peratus daripada pendapatan kerajaan negeri hasil daripada cukai tanah dan ia akan digunakan untuk pembangunan di peringkat negeri dalam pelbagai aspek," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Bayar Cukai Tanah dan Menang 2019 bagi Bulan Mei di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, 54 pemilik tanah di negeri itu terpilih sebagai pemenang cabutan bertuah bagi bulan Mei dan 262 pemilik tanah terpilih sebagai pemenang kempen itu bagi tempoh Januari hingga Mei melibatkan nilai hadiah berjumlah RM65,000.

Mengulas lanjut, Adly berkata jumlah tunggakan cukai tanah pula kira-kira RM14 juta melibatkan 83,283 hak milik dalam tempoh lebih lima tahun sehingga 31 Okt lepas.

Beliau berkata justeru pihaknya berharap pemilik tanah yang masih mempunyai tunggakan cukai segera menjelaskannya dengan memanfaatkan insentif yang ditawarkan.

"Kami tahu ada sebahagian pemilik tanah di negeri ini menghadapi kesukaran untuk membayar cukai kerana tidak mampu tetapi peringatan akan sentiasa diberikan agar mereka menjelaskan tanggungjawab mereka," katanya.

Sementara itu, pemenang cabutan bertuah hadiah utama berupa motosikal Yamaha Ego Solariz, Beh Pang Yong, 70, dari Pangsapuri Tun Sri Lanang di sini berkata beliau tidak menyangka akan memenangi hadiah tersebut yang dianggarkan bernilai lebih RM5,000.

"Saya sudah lima tahun duduk di pangsapuri dan tahun lepas baru rumah hak milik strata kena bayar cukai...tidak sangka menang hadiah. Rasa gembira mungkin ini rezeki saya menang motor," kata pengajar memandu itu.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Ops Catut PSP: KPDNHEP Sabah hantar notis pengesahan kepada 15 kilang

 
     

Dua buah PPS dibuka di Kuching setakat 8.00 malam

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel