Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sarawak akan jumpa kerajaan Persekutuan berhubung wakil rakyat GPS dilarang masuk sekolah


Tarikh kemaskini: 12/11/2019





KUCHING, 12 Nov -- Kerajaan negeri Sarawak akan mendapatkan penjelasan daripada kerajaan Persekutuan yang didakwa telah mengeluarkan arahan melarang wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) daripada menghadiri acara yang diadakan di sekolah di negeri itu.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi negeri Datuk Seri Michael Manyin berkata Jabatan Pendidikan negeri baru-baru ini menerima arahan itu menerusi WhatsApp. 

Katanya beliau akan berjumpa dengan Menteri Pendidikan Persekutuan Dr Maszlee Malik di Putrajaya untuk membincangkan perkara itu dan merayu supaya arahan seperti didakwa itu ditarik balik.

“Apa yang ia kata adalah YB (wakil rakyat) GPS  dibenarkan memasuki kawasan sekolah tetapi tidak dibenarkan berucap, tetapi kami amat dialu-alukan untuk menyumbang (dana kepada sekolah). Jabatan (Jabatan Pendidikan negeri) juga telah mengadakan perjumpaan dengan ketua setiausaha kementerian dan beliau mengesahkan keputusan itu dibuat Kabinet.

“Kami sedang menunggu pekeliling bertulis, tetapi pada masa yang sama jabatan akan merayu supaya tiada perkara seumpama itu berlaku,” katanya semasa ditanya mengenai perkara itu pada sidang media selepas beliau menyampaikan ucapan penggulungan Rang Undang-Undangan Perbekalan 2020 pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Isu itu dibangkitkan Datuk Henry Harry Jinep (GPS-Tasik Biru) yang memberitahu persidangan DUN bhaawa beliau menerima mesej WhatsApp daripada Jabatan Pendidikan yang memintanya untuk tidak meneruskan rancangannya melakukan lawatan ke sebuah sekolah dalam kawasannya.

Mesej WhatsApp yang sama turut tular di media sosial baru-baru ini.

Terdahulu dalam ucapannya,  Manyin berkata kerajaan negeri masih belum menerima pekeliling daripada Kementerian Pendidikan Persekutuan berhubung larangan seperti didakwa itu, dan menurutnya buat masa ini beliau menyifatkan mesej  WhatsApp itu sebagai tidak rasmi.

Dalam perkembangan berasingan,  Manyin berkata setakat ini sebanyak 153 sekolah daif telah dinaik taraf, sebagai tambahan kepada 43 sekolah yang telah dinaik taraf atau dibina semula di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, menggunakan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.

Ini hanya 19.2 peratus daripada sebanyak 1,020 sekolah yang tahap kedaifannya pada pelbagai peringkat di negeri ini, katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel