Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perhutanan Kedah tahan 29 individu dalam Ops Rimba 2019


Tarikh kemaskini: 13/11/2019





ALOR SETAR, 13 Nov  -- Jabatan Perhutanan Negeri Kedah menahan 29 individu dalam Operasi Penguatkuasaan Hutan Bersepadu 2019 (Ops Rimba) kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan penerokaan hutan simpanan kekal negeri.

Pengarah Perhutanan Kedah, Roslan Rani berkata kesemua mereka yang berumur antara 20-an dan 60-an itu ditahan dalam operasi yang dijalankan di Pulau Langkawi pada 3 hingga 6 Nov; dan di kawasan hutan tanah besar negeri ini pada 10 hingga 12 Nov lepas.

“Operasi menyasarkan kawasan ‘hotspot’ termasuk kilang industri berasaskan kayu yang dikenal pasti sama ada melalui risikan atau aduan daripada orang awam. Seluas 32 hektar kawasan hutan telah diceroboh antaranya di Hutan Simpan Pedu, Padang Terap; Hutan Simpan Enggang, Sik dan Hutan Simpan Gunung Raya, Langkawi.

“Hasil risikan mendapati ada yang memproses kayu di dalam kawasan hutan terlebih dahulu sebelum membawanya keluar bagi mengelak daripada dikesan penguatkuasa. Melalui operasi ini, ia diharap dapat membanteras kegiatan penerokaan hutan simpanan kekal di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 dan Enakmen Industri Berasas Kayu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Penutup Operasi Penguatkuasaan Hutan Bersepadu 2019 ‘Ops Rimba’ yang dirasmikan Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim.

Roslan berkata dalam operasi yang melibatkan 11 agensi dan 222 pegawai dan anggota termasuk daripada Jabatan Perhilitan, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan dan pejabat daerah itu juga telah menyita pelbagai jenis barang termasuk kayu-kayuan yang dianggarkan bernilai lebih RM50,000.

“Daripada hasil operasi ini, 15 laporan polis telah dibuat dan 44 notis dipasang manakala agensi-agensi lain turut membuat tangkapan dan sitaan mengikut peruntukan jabatan masing-masing. Kita telah mengambil tindakan segera dengan melaksanakan pemulihan ke atas kawasan terlibat dengan menanam pokok spesies hutan bagi proses pemulihan,” katanya.

Roslan berkata pihaknya turut menubuhkan Pasukan Drone tahun lepas yang ditugaskan untuk membuat pemantauan dan risikan menggunakan dron sebelum melakukan serbuan manakala Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) yang ditubuhkan sejak beberapa tahun lepas akan bertindak dengan segera selepas menerima sebarang aduan.

Sementara itu, Tunku Iskandar Shah dalam ucapannya berkata merujuk kepada data Jabatan Perhutanan Kedah, seluas 3,534.7 hektar kawasan hutan simpanan kekal negeri telah diteroka secara haram sama ada untuk pertanian atau penempatan.

“Walaupun kawasan yang diteroka hanya satu peratus daripada keluasan hutan simpan kekal seluas 341,976 hektar, namun angka itu akan terus meningkat sekiranya tidak dibanteras dari sekarang. Kita tidak boleh membiarkan sumber kekayaan Kedah dimusnahkan secara rakus oleh penceroboh,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel