Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Gerak kempen Wanita PH dapat maklum balas positif masyarakat


Tarikh kemaskini: 13/11/2019





PONTIAN, 13 Nov -- Gerak kempen Wanita Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai telah berjaya mendapat maklum balas positif daripada masyarakat berbilang kaum dalam kawasan Parlimen itu. 

Ketua Wanita PH Zuraida Kamaruddin berkata berdasarkan sambutan yang diterima sepanjang tempoh kempen, kebarangkalian untuk parti itu mengekalkan kerusi Parlimen berkenaan adalah sangat tinggi.

“Saya mendapat persepsi dan pandangan yang positif kebolehan kita untuk menang kerusi Tanjung Piai.

“Malahan sambutan masyarakat Cina, India dan sebagainya juga amat menggalakkan. Saya tidak menafikan kebarangkalian untuk (PH) menang sangat tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelepasan Program Kayuhan Bomba Komuniti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri di sini, hari ini.

Mengenai program berkenaan, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata seramai 100 anggota bomba komuniti menyertai kayuhan sejauh 12 kilometer bermula dari Pejabat Jabatan Kastam sehingga Taman Negara Tanjung Piai untuk menyerahkan kit keselamatan kepada ketua kampung dan pengerusi masjid di beberapa buah kampung.

“Sebulan sekali bomba komuniti ataupun sukarelawan akan membuat aktiviti seperti kayuh basikal dan sebagainya.

“Ini antara latihan kerana ada ketika mereka harus gunakan basikal untuk cepat sampai ke kawasan terbakar, kecemasan memandangkan kebanyakan kawasan kampung kecil...jadi mereka boleh beri bantuan dengan cepat,” katanya.

Menurutnya, setakat ini terdapat kira-kira 2,500 bomba komuniti seluruh negara.

“Hampir separuh daripadanya berada di Sabah kerana (Sabah) mempunyai kawasan pedalaman yang banyak... jadi banyak bomba komuniti diwujudkan. 

“Kita memang menggalakkan sekurang-kurangnya satu (bomba komuniti) bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi ini lebih (jumlah bomba komuniti) daripada kita harapkan. Memang perlu ada untuk bantu pasukan bomba induk apabila ada kecemasan ataupun kebakaran di kawasan pedalaman tertentu,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel