Keluarga Muhammad Nurul Hafizan lega terima pampasan Perkeso
Tarikh kemaskini: 14/11/2019

BATU PAHAT, 14 Nov-- Keluarga Muhammad Nurul Hafizan Mohd Zaidee, yang maut selepas motosikal yang dinaikinya berlanggar dengan sebuah kereta di Kilometer 5, Jalan Kluang, Sabtu lepas, kini mampu menarik nafas lega apabila menerima wang pampasan termasuk pencen secara bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), hari ini.
Ibu mangsa, Sumiati Sapari, 47, berkata arwah anaknya yang berusia 27 tahun itu, merupakan harapan kepada keluarga berkenaan apabila dia turut membantu menyara keluarga terbabit.
Katanya, arwah Muhammad Nurul Hafizan yang bekerja di sebuah kedai makan berhampiran kediaman mereka menguruskan perbelanjaan harian untuk dua adiknya iaitu Nabila Huda, 9, dan Muhammad Iqbal, 4, apabila ibunya tidak lagi bekerja.
“Kami bersyukur kerana pihak Perkeso tampil untuk menyatakan yang anak saya ini layak untuk mendapat pencen daripada mereka yang akan dibayar secara bulanan.
“Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Rumah Pangsa Jalan Pantai, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Timbalan Pengurus Perkeso Cawangan Batu Pahat Saifuddin Mohd Nor berkata ibu serta dua adik kepada Orang Berinsurans (OB) berkenaan layak untuk menerima dua jenis pampasan.
Katanya, bayaran yang pertama ialah Faedah Pengurusan Mayat (FPM) yang dibayar sebanyak RM2,000 untuk pengurusan jenazah OB berkenaan, manakala bayaran kedua adalah Faedah Pencen Penakat yang akan dibayar bermula bulan Disember ini.
“Bagi bayaran Pencen Penakat, ia mempunyai dua syer iaitu kepada ibu dan dua orang adiknya, yang mana syer untuk ibu akan dibayar seumur hidup manakala syer untuk dua orang adik OB akan dibayar sehingga mereka berusia 21 tahun,” katanya.
-- BERNAMA
|