Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Masih ramai pemandu e-hailing di Sarawak tidak miliki EPV - JPJ


Tarikh kemaskini: 14/11/2019





MIRI, 14 Nov-- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengenal pasti ramai pemandu e-hailing tidak memiliki Permit Kenderaan E-Hailing (EPV) di Sarawak walaupun peraturan tersebut sudah dikuatkuasakan sepenuhnya pada 21 Okt lepas.

Pengarah JPJ Sarawak Mohd Syafiq Anas Abdullah berkata, dalam tempoh tiga hari operasi pematuhan e-hailing secara besar-besaran dilakukan sejak Isnin lepas hingga semalam di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, sebanyak 83 kesalahan tidak memiliki EPV dicatatkan, tertinggi berbanding kesalahan lain.

“Secara keseluruhan dalam tempoh yang sama di Sarawak sebanyak 203 kes melibatkan pelbagai kesalahan peraturan e-hailing dengan majoriti tiada memiliki EPV iaitu 80 kes diikuti tidak pamer disc Puspakom sebanyak 80 kes,” katanya kepada pemberita selepas operasi ke atas pemandu e-hailing di sini hari ini.

Mohd Syafiq berkata, buat masa ini tiada tindakan undang-undang dikenakan ke atas pemandu e-hailing di Sarawak yang tidak mematuhi peraturan tersebut kerana masih lagi dalam tempoh memberi kesedaran serta memberi ruang kepada pemandu terbabit mendapatkan EPV.

 Beliau berkata bagi Sarawak, pemandu e-hailing boleh mendapatkan bantuan daripada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak bagi mendapatkan EPV secepat mungkin.

“Selain mematuhi peraturan ditetapkan oleh LPKP serta JPJ, pemandu e-hailing tidak dibenarkan menunggu mengambil penumpang di lapangan terbang,” katanya sambil menyatakan operasi turut dilaksanakan di empat lapangan terbang di Sarawak.

Beliau berkata, dalam operasi tiga hari tersebut tiada pemandu warga asing dikesan atau ditahan mengendalikan operasi e-hailing.

Mengenai sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan secara dalam talian atau JPJebid yang pertama kali dilaksanakan di Sarawak pada 25 Okt lepas, beliau berkata respons bagi bidaan siri QAA-Y dan QS-L adalah positif dengan lebih RM600,000 bidaan dikutip.

Beliau berkata bidaan tertinggi ialah untuk siri QS1L dengan jumlah bidaan sebanyak RM66,666.

Menurutnya, JPJ Sarawak akan melaksanakan JPJebid pada 21 Nov untuk bidaan siri QCK bagi kawasan Samarahan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel