Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kunak bakal wujud tapak pelupusan sampah bersepadu


Tarikh kemaskini: 14/11/2019




KUNAK, 14 Nov-- Tapak pelupusan sampah bersepadu yang menggunakan sistem teknologi hijau di kawasan seluas 40 hektar bakal dibangunkan di Kunak, kata Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Norazlinah Arif.

Beliau berkata penggunaan tapak pelupusan sampah atau sisa pepejal itu diselaraskan untuk Semporna dan Lahad Datu, selain Kunak.

"Kita sudah berjaya mendapatkan peruntukan untuk tapak pelupusan sampah yang bernilai lebih RM67 juta. Difahamkan tapak pelupusan bersepadu ini antara yang terbesar dibangunkan di Malaysia," katanya kepada Bernama.

Menurut Norazlinah, ketika ini proses pembenaran sedang berjalan di samping isu tapak untuk pelupusan sampah turut dalam pemerhatian.

"Pegawai Daerah Kunak (Juraimin Jadil), selain wakil daripada Majlis Daerah Kunak sudah melakukan tinjauan tapak, iaitu di suatu lokasi di sekitar kawasan Madai.

"Sekiranya perancangan pengurusan sisa pepejal dan sampah ini berjalan lancar, kita akan melihat projek bermula pada tahun hadapan," katanya dan menambah tapak itu akan dikendalikan oleh Majlis Daerah Kunak.

Dalam pada itu, Norazlinah berkata projek itu bukan sahaja dapat menyelesaikan isu sampah yang pada masa ini kedudukannya tidak sesuai kerana berdekatan dengan kawasan kampung, malah menyediakan peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Jaujan Sambakong berkata penggunaan kaedah teknologi hijau dalam pengurusan sampah membolehkan sisa pepejal mampu dijadikan sumber pendapatan.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata jika pengurusan sampah tidak dilakukan dengan baik, ianya mampu memudaratkan alam sekitar dan kesihatan manusia.

"Barangan buangan seperti plastik, kertas serta bahan lain boleh dikitar semula untuk menjana pendapatan. Kini konsep kaedah urus sampah digunakan dan istilah membuang sampah tidak lagi relevan," katanya.

Menurutnya lagi, Sabah memiliki alam persekitaran yang menarik sehingga membawa kemasukan berjuta pelancong setahun dan keindahannya perlu dikekalkan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel