Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kelantan tambah pokok rhu majukan 'Pulau Nami Kelantan'


Tarikh kemaskini: 14/11/2019





BACHOK, 14 Nov -- Kerajaan Kelantan sedang gigih meneruskan usaha menambah 1,600 pokok rhu yang disumbangkan Jabatan Perhutanan Negeri di sepanjang Pantai Senok di sini, juga dikenali sebagai 'Pulau Nami Kelantan' tahun ini bukan sahaja bagi tujuan menjaga pantai, tapi juga bagi tujuan pengindahan landskap.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob  berkata sejak 2009 sebanyak 4,344 pokok rhu ditanam di pantai itu yang kini giat dilengkapkan dengan kemudahan fizikal serta landskap, juga bagi tujuan mengurangkan karbon serta menangani isu perubahan iklim dan pemanasan global.

"Pada dasarnya kita menanam pokok rhu dengan tujuan untuk menjaga kekuatan pantai, tetapi selepas itu, ia juga dilihat berpotensi menjadikan Pantai Senok ini sebagai destinasi pelancongan.

"Pada masa ini Pantai Senok sudah menjadi salah satu aset pelancongan yang bernilai di bawah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Kelantan yang menyediakan Pelan Induk Pembangunan Landskap Pantai Senok," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sempena Hari Hutan Antarabangsa Kali Ke-48 dan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Senok di sini  hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Perancangan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Zahari Ibrahim dan Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan, Mohd Radhi Chu Abdullah.

Pada majlis itu, sebanyak 400 pokok rhu baru ditanam, manakala 1,200 pokok spesis hutan akan disumbangkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dijangka ditanam oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan di Lojing Highlands, selari dengan hasrat Kerajaan Negeri iaitu seruan 'Go Green' di bawah Program Penghijauan Dalam Bandar.

Ahmad berkata kerajaan negeri turut mewartakan hutan simpan kekal secara keseluruhan sebagai kawasan tadahan air di Kelantan seluas 125,552 hektar.

"Sungguhpun ada agensi yang ditugaskan menjaga hutan simpan daripada diceroboh, namun masyarakat diharap menggembleng tenaga sekurang-kurangnya menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam menangani pencerobohan hutan dan pembalakan haram," katanya.

Sementara itu, Zahari berkata usaha menjaga kawasan ini berdasar arahan Majlis Tanah Negara yang mana setiap negeri perlu mengenal pasti kawasan tadahan air dan Kelantan mengotakan janji dengan mewartakan fungsi tadahan air sebagai lokasi perlindungan dalam usaha pencegahan terhadap sebarang aktiviti  pemcerobohan dan pembangunan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel