Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

WWF Malaysia laksana kaedah terbaik tangani konflik manusia dengan gajah, bom ikan di Sabah


Tarikh kemaskini: 14/11/2019





KOTA KINABALU, 14 Nov -- Tabung Alam Dunia (WWF) Malaysia sedang mengusahakan kaedah-kaedah terbaik dalam menangani isu berkaitan konflik manusia dengan gajah, serta kegiatan bom ikan di Sabah.

Pengarah Konservasi WWF-Malaysia Dr Henry Chan berkata kaedah itu dilaksanakan menerusi jalinan kerjasama dengan agensi-agensi yang terlibat terutama Jabatan Hidupan Liar Sabah, Taman-Taman Sabah di samping lain-lain pihak yang berkepentingan, termasuk merangkumi komuniti tempatan.

Beliau berkata dalam menangani isu konflik gajah dengan manusia, pihaknya melaksanakan program pemasangan kolar satelit membabitkan 13 ekor gajah di kawasan hutan timur Sabah, supaya pergerakan gajah-gajah itu dapat dipantau setiap empat jam.

“Maklumat ini dikongsi dengan syarikat perladangan yang menjalin kerjasama dengan WWF-Malaysia. Ia bagi membolehkan mereka (syarikat perladangan) memaklumkan kepada para pekerja mereka supaya tidak terserempak dengan kumpulan gajah yang melalui kawasan ladang," katanya ketika ditemui pemberita selepas kunjungan hormat WWF-Malaysia kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini, hari ini.

Kunjungan hormat itu diketuai Tunku Besar Seri Menanti Negeri Sembilan Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz yang merupakan Pengerusi WWF-Malaysia.

Henry berkata lebih penting lagi adalah usaha mewujudkan koridor hidupan liar yang menghubungkan kawasan hutan simpan dengan kawasan ladang bagi memudahkan pergerakan gajah.

Menurutnya dalam usaha ini, syarikat berkaitan kerajaan negeri,  Sabah Sofwood Berhad (SSB) telah mengambil inisiatif membina koridor hidupan liar di atas tapak 1,000 hektar, yang terletak di antara Ulu Segama dengan Ulu Kalumpang.

Merujuk kepada kegiatan bom ikan di perairan Sabah pula, Henry berkata WWF-Malaysia telah berkerjasama dengan sebuah organisasi dari Hong Kong dalam mengenal pasti tahap aktiviti mengebom ikan di Semporna.

Katanya ia dilaksanakan di dua kawasan di perairan daerah itu, dan hasilnya 1,115 letupan bom ikan dikesan di kawasan berkenaan dalam tempoh enam bulan.

Justeru katanya dalam menangani kegiatan bom ikan di perairan negeri, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan.

Pada masa sama, Henry berkata tumpuan juga dilakukan dalam meningkatkan kesedaran kalangan komuniti tempatan itu sendiri dalam menjaga batu karang di kawasan mereka yang penting itu pembiakan ikan.

-- BERNAMA   

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel